Tolak parti politik Malaysia Barat, Soon Koh gesa rakyat Sarawak

Tolak parti politik Malaysia Barat, Soon Koh gesa rakyat Sarawak

Naib Presiden Kanan PDP Wong Soon Koh kata Sarawak menghadapi detik penentuan pada ketika ini.

Naib Presiden Kanan PDP Wong Soon Koh dakwa parti berpangkalan di Malaysia Barat sedang buat langkah strategik untuk bertapak di Sarawak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif Wong Soon Koh menggesa rakyat Sarawak menolak parti politik yang berpangkalan di Malaysia Barat pada PRN akan datang dan beri sokongan penuh kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bekas menteri kewangan negeri II itu berkata Sarawak menghadapi detik penentuan pada ketika ini, mendakwa kuasa politik luar berusaha untuk mengembangkan pengaruh di negeri Borneo itu.

Sambil merujuk kepada perbincangan antara Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) yang sedang berjalan serta perbincangan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Wong berkata kekuatan Sarawak bergantung pada perpaduan.

Beliau memuji Premier Abang Johari Openg sebagai seorang pemimpin yang berani dan berdaya tahan, sambil merujuk kepada usaha pengerusi GPS itu mendapatkan semula hak Sarawak yang termaktub dalam MA63.

“Namun, cabaran baharu menanti. Parti politik Tanah Melayu sedang membuat langkah strategik untuk bertapak di Sarawak.

“Ini bukan semata-mata mengenai melebarkan sayap, ia percubaan untuk menukar landskap politik kita, yang berpotensi membawa ketidakstabilan dan ketidaktentuan kepada negeri kita. Kita tidak boleh membiarkan ini berlaku.”

Adun Bawang Assan tujuh penggal itu mengulangi bahawa adalah penting untuk memastikan negeri itu kekal di tangan rakyat Sarawak. Beliau berkata perpecahan hanya akan melemahkan kedudukan Sarawak.

Itulah sebabnya parti-parti Malaysia Barat mesti ditolak pada PRN akan datang, katanya.

Tempoh DUN Sarawak tamat lima tahun selepas tarikh persidangan pertama. Ini bermakna PRN akan datang mesti diadakan selewat-lewatnya pada 15 April 2027.

GPS menguasai 80 daripada 82 kerusi DUN Sarawak, manakala DAP memegang bakinya.

Pakatan Harapan Sarawak telah menyuarakan hasrat untuk bertanding menentang GPS pada PRN akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.