
Pensyarah Universiti Teknologi Mara, Tan Peck Leong, berkata sistem itu membolehkan hanya individu layak mendapat akses kepada bahan api bersubsidi sekali gus mengurangkan ketirisan kewangan kepada golongan berpendapatan tinggi.
“Model harga dua peringkat distruktur baik disokong pengesahan melalui MyKad atau e-dompet boleh membantu menyalurkan subsidi dengan lebih lancar serta mengurangkan gangguan operasi,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, penggunaan kad pintar pengenalan diri dan e-dompet lebih cekap dan selamat kerana mengurangkan kos pentadbiran, meminimumkan penipuan, membolehkan pengesahan waktu sebenar di pam minyak dan mengelakkan salah guna bantuan tunai untuk pembelian selain bahan api.
“Dengan sistem MyKad atau e-dompet, penerima akan menerima subsidi secara terus semasa pembelian, memastikan hanya mereka yang layak mendapat manfaat.
“Ini juga membolehkan kerajaan memperkenalkan had subsidi, memastikan kawalan perbelanjaan lebih baik sambil menyokong kepada golongan benar-benar memerlukan,” katanya.
Tan berkata, cabaran kerajaan adalah memastikan data pendapatan isi rumah tepat dan terkini bagi menentukan kelayakan penerima subsidi bahan api secara cekap.
Pada 6 Nov tahun lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan akan melaksanakan sistem harga dua peringkat untuk pelaksanaan subsidi bersasar RON95.
Menurut laporan The Edge, Rafizi menyatakan risiko inflasi lebih rendah menerusi mekanisme berkenaan berbanding kaedah pemindahan tunai digunakan kerajaan untuk subsidi diesel.
Pada 12 Nov tahun lalu, media melaporkan kenyataan Rafizi berhubung pengenalan sistem harga dua peringkat di stesen minyak iaitu bersubsidi dan sebaliknya, dengan beberapa kaedah dipertimbang termasuk pengesahan melalui kad pengenalan dan e-dompet.
Pendekatan harga berperingkat lebih efektif
Ahli ekonomi, Geoffrey Williams, turut senada dengan kaedah penetapan harga dua peringkat lebih baik untuk melaksanakan subsidi bersasar bagi RON95 kerana ‘kaedah lain mempunyai kelemahan’.
Katanya, harga berperingkat membolehkan pembelian dalam jumlah kecil mendapat subsidi manakala jumlah besar tanpa subsidi, pendekatan sama dalam menyalurkan subsidi elektrik.
Namun, beliau tidak bersetuju dengan penggunaan MyKad atau bentuk pengenalan lain untuk pengesahan, dengan alasan ia boleh membuka ruang kepada penipuan.
“MyKad dan e-dompet boleh dipalsukan, dijual atau diperdagangkan untuk mendapatkan subsidi.
“Cara lebih mudah ialah mengenakan harga bersubsidi bagi jumlah kecil dan menghapuskan subsidi secara berperingkat untuk jumlah yang lebih besar pada titik jualan,” katanya.
Williams turut menegaskan, penggunaan baucar boleh mencetuskan penjualan di pasaran gelap manakala pengecualian subsidi mengikut jenis dan saiz kenderaan tidak menghalang golongan kaya daripada membeli RON95 pada harga lebih murah dengan menggunakan kereta lebih mampu milik.
Sistem berperingkat mampu urus inflasi
Williams berkata, sistem harga berperingkat juga boleh membantu mengawal inflasi, terutama jika ia dilaksanakan secara berperingkat.
Sementara itu, Tan berkata kunci utama untuk mengelakkan tekanan inflasi adalah memastikan penyaluran subsidi berlaku serta-merta atau dalam tempoh sebulan dan dikomunikasikan dengan jelas kepada perniagaan serta pengguna bagi mengelakkan kenaikan harga tidak perlu.
Profesor ekonomi Universiti Malaya, Rajah Rasiah, pula menekankan kepentingan memastikan harga pasaran dan harga bersubsidi dipaparkan melalui pelbagai saluran, termasuk papan iklan elektronik, serta diiklankan di televisyen dan radio untuk memastikan rakyat mendapat maklumat sepenuhnya.
Beliau turut menekankan keperluan kerajaan menggiatkan usaha menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai pelaksanaan subsidi bahan api disasarkan, termasuk untuk diesel, bagi mengelakkan kebocoran melalui penyeludupan dan penggunaan kumpulan tidak layak.
“Maklumat ini perlu disampaikan secara meluas kepada rakyat dan bukan mengharapkan mereka mencari sendiri,” katanya.