
Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya menahan lelaki warga tempatan berusia 60 tahun itu 10 malam tadi.
Katanya, Unit Risikan dan Operasi, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kajang mengesan rakaman video tular kejadian itu di Facebook, kelmarin.
“Ia memaparkan seorang pemandu lori memandu secara melawan arus di Jalan Persiaran Mahkota Residence dan menghalang laluan kenderaan dari Jalan Mahkota Residence 1 untuk masuk ke Jalan Persiaran Mahkota Residence.
“Bertindak atas rakaman tular itu, pemandu lori berkenaan berjaya dikesan dan ditahan kerana memandu secara berbahaya dan melulu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan denda RM5,000,” katanya.