Pekerja asing Bangladesh berdepan pengusiran selepas hilang kerja

Pekerja asing Bangladesh berdepan pengusiran selepas hilang kerja

Dia dikehendaki meninggalkan negara hari ini di bawah Program Repatriasi Migran Jabatan Imigresen.

KELAPA_SAWIT
Seorang pekerja ladang warga Bangladesh tidak dapat hadir ke Mahkamah Perusahaan pada 24 Mac apabila kes pemecatannya secara tidak adil dijadualkan dibicarakan pada 24 Mac.
PETALING JAYA:
Seorang pekerja asing Bangladesh mendakwa dia telah ditinggalkan dalam keadaan tidak menentu selepas dipecat secara tidak adil daripada pekerjaannya dan kini berdepan dengan pengusiran hanya beberapa hari sebelum kesnya dibicarakan di mahkamah.

Lelaki berusia 48 tahun itu, yang mula bekerja di sebuah perusahaan milik kerajaan di Pahang pada 2018, memberitahu FMT majikannya gagal memperbaharui permit kerjanya pada September 2023.

Walaupun berulang kali bertanya mengenai permit, pekerja asing itu yang hanya mahu dikenali sebagai ‘H’, berkata dia sentiasa mendapat jawapan bahawa ia ‘masih dalam proses’.

Pada November, majikan H didakwa telah mengatur untuk menghantarnya pulang di bawah Program Repatriasi Migran Jabatan Imigresen tanpa pengetahuannya.

Program itu bertujuan untuk membenarkan pendatang tanpa izin pulang ke negara asal secara sukarela.

“Majikan saya memutuskan untuk melepaskan saya tanpa melalui proses yang sepatutnya,” kata bekas pengurus hotel lima bintang yang kemudiannya menjadi pekerja ladang itu.

Dia yang tidak berpuas hati kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Perusahaan dan perbicaraan ditetapkan pada 24 Mac.

Bagaimanapun, dia dikehendaki meninggalkan negara hari ini di bawah program imigresen itu.

H mendakwa dia meminta bantuan pihak berkuasa Bangladesh dan Kementerian Kebajikan Ekspatriat Bangladesh mengarahkan suruhanjaya tingginya membantu namun ia mengatakan tidak dapat berbuat apa-apa selepas bertemu dengan majikan lelaki itu.

H berkata permohonan bantuan daripada kumpulan antarabangsa – termasuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian dan badan hak asasi manusia – juga tidak dijawab.

“Saya bersendirian dalam perjuangan ini, tetapi dunia perlu tahu apa yang berlaku kepada pekerja seperti saya,” katanya.

FMT telah menghubungi majikan lelaki itu dan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.