
Chang berkata PKR memerlukan pemimpin yang bukan sekadar menumpang kejayaan parti, tetapi yang telah membuktikan komitmen sejak awal terhadap perjuangan reformasi.
“Saya sendiri telah melalui jatuh bangun parti ini. Kita pernah berada di titik yang terendah, pernah dikhianati.
“Namun saya tetap setia bersama parti kerana saya yakin PKR adalah parti masa depan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Chang adalah Ahli Parlimen Tanjung Malim dan juga menteri sains, teknologi dan inovasi.
Empat naib presiden yang dipilih pada 2022 adalah pengerusi PKR Selangor yang juga menteri besar Amirudin Shari, pengerusi PKR Negeri Sembilan yang juga menteri besar Aminuddin Harun, Ahli Parlimen Setiawangsa yang juga menteri sumber asli dan kelestarian alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Amirudin, Aminuddin dan Nik Nazmi mengumumkan akan mempertahankan jawatan mereka.
Pada minggu lalu, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil juga mengumumkan akan merebut jawatan itu.
Pemilihan untuk jawatan kuasa sayap Wanita dan Pemuda di peringkat bahagian akan diadakan pada 11 hingga 20 April.
Pemilihan untuk Majlis Pimpinan Pusat dan ketua sayap Wanita serta Pemuda akan diadakan pada 24 Mei.