
Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mendedahkan, pengemis hanya mendapat 30% hasil mengemis, manakala 70% dikaut oleh ejen, yang mengatur pergerakan mereka menggunakan pas lawatan sosial.
Sindiket itu dipercayai dikendalikan ejen tempatan untuk dibawa ke lokasi strategik seperti bank, masjid, dan kawasan perumahan untuk mengemis.
Ketua Bahagian Penguatkuasa MPKB-BRI Mohd Hakimie Md Salleh, berkata kegiatan ini dikesan menerusi Op Bersih, operasi bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan, dan Jabatan Imigresen.
“Kebanyakan mereka terdiri daripada warga emas, wanita, dan kanak-kanak yang kemudiannya ditinggalkan di kawasan tertentu untuk mengemis sepanjang hari,” katanya menurut Bernama.
Hakimie berkata, sindiket ini beroperasi secara sistematik dengan pengemis menyewa rumah bersama-sama sepanjang Ramadan dan keluar mengemis setiap hari.
“Setiap tahun, mereka akan datang sebaik sahaja Ramadan bermula dan aktiviti mereka semakin rancak menjelang 15 hari terakhir, apabila lebih ramai penduduk tempatan bersedekah.
“Dari segi pendapatan, pengemis hanya mendapat kira-kira 30% daripada kutipan harian, manakala 70% lagi diberikan kepada ejen yang mengatur pergerakan mereka. Mereka menggunakan pelbagai taktik untuk meraih simpati, termasuk mendakwa memerlukan dana bagi pendidikan anak-anak atau rawatan perubatan.”
MPKB-BRI memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap ejen yang mengeksploitasi pengemis dan operasi pemantauan akan dipergiatkan bagi membanteras aktiviti sindiket ini sepanjang Ramadan.
Sementara itu, seorang warga Thailand berusia 52 tahun berkata dia mampu mengumpul RM1,000 hingga RM1,500 dalam 10 hari terakhir Ramadan dengan mengemis di masjid sekitar Kota Bharu.