
Ismail yang tiba pada 9.54 pagi tadi meninggalkan Ibu Pejabat SPRM pada 2.51 petang, selepas sesi soal siasat berlangsung hampir lima jam.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau akan dipanggil semula esok, Ismail memaklumkan kepada media bahawa dirinya dibenarkan “cuti” esok.
“Cuti-cuti,” katanya ringkas sebelum meninggalkan pekarangan bangunan SPRM.
Sementara itu, sumber berkata, Ahli Parlimen Bera itu akan dipanggil semula minggu depan.
Agensi antirasuah itu sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya menyoal siasat Ismail sebagai suspek dalam siasatan terhadap empat bekas pegawai kanannya.
Beliau pertama kali dipanggil untuk rakaman keterangan pada 19 Feb, sembilan hari selepas membuat pengisytiharan harta kepada SPRM.
Bekas naib presiden Umno itu disoal siasat SPRM sebagai suspek berhubung siasatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan empat pegawai kanannya.
Sebelum ini, SPRM berkata kira-kira RM170 juta wang tunai dan 16kg jongkong emas bernilai jutaan ringgit dirampas dalam serbuan di kediaman empat pegawai terbabit, dan tiga premis lain dipercayai digunakan sebagai ‘safe house’.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memaklumkan agensi itu mereman seorang pengurup wang bagi membantu siasatan kes melibatkan Ismail, namun dilepaskan selepas mengadu sakit jantung.