
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, SEB berkata pihaknya memberi kerjasama penuh kepada SPRM dan akan menyediakan maklumat diperlukan bagi membantu inkuiri.
“Sebagai entiti senaraian awam bertanggungjawab, kami kekal komited menegakkan standard kukuh tadbir urus korporat, ketelusan, dan integriti dalam semua aktiviti kami,” katanya.
Syarikat tersebut memberi jaminan kepada semua pemegang taruh operasi perniagaan berjalan seperti biasa.
“Menyedari kepentingan pemegang taruh sentiasa dimaklumkan, kami akan menyediakan perkembangan semasa mengikut kesesuaian sekiranya terdapat sebarang perkembangan penting,” katanya.
Dilaporkan pada Jumaat lalu, SPRM membuka dua kertas siasatan atas dakwaan rasuah dan penyelewengan dana melibatkan SEB.
Sumber SPRM berkata, siasatan berdasarkan penyiasatan awal yang dibuka pada penghujung 2023, yang turut membabitkan tuntutan dibuat berkaitan syarikat itu.
“Dua kertas siasatan ini menumpukan kepada aktiviti pengubahan wang dan penyelewengan berkait tuntutan dibuat pada 2018, ketika syarikat itu dikenali Sapura Kencana Petroleum Berhad.
“Siasatan juga akan menumpukan isu berkait kelemahan tadbir urus dan pengurusan,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, berkata kertas siasatan dibuka mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.