Pengundi Cina tak terpengaruh dengan naratif ‘Sabah First’, kata penganalisis

Pengundi Cina tak terpengaruh dengan naratif ‘Sabah First’, kata penganalisis

Mereka kata pengundi Cina Sabah melihat DAP sebagai wakil utama, dan kurang berminat dengan parti tempatan.

Gaya Street Sabah
Pengundi Cina di Sabah sehaluan dengan parti nasional, termasuk DAP, walaupun naratif ‘Sabah First’ semakin meluas. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Walaupun naratif ‘Sabah Didahulukan’ (Sabah First) semakin meluas, penganalisis berkata kebanyakan pengundi Cina di Sabah seiring dengan parti nasional, terutama DAP, dan kurang mengambil kira parti-parti tempatan.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata orang Cina Sabah tertumpu di kawasan bandar, seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, di mana DAP peroleh kemenangan memberangsangkan pada PRN lalu.

Lee Kuok Tiung.

“Prestasi kuat DAP di kerusi seperti Luyang, Likas, Elopura, Tanjung Papat, dan Sri Tanjong menunjukkan bahawa kelompok pengundi ini masih melihat DAP sebagai wakil politik utama mereka,” katanya kepada FMT.

“Ini berbeza dengan beberapa kawasan Kadazandusun dan majoriti Bumiputera (di mana parti tempatan mempunyai lebih banyak pengaruh).”

Khamis lalu dilaporkan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berhasrat untuk bertanding di beberapa kerusi majoriti Cina pada PRN akan datang.

Timbalan Presiden STAR Kenny Chua dakwa parti itu, yang secara tradisinya kuat dalam kalangan masyarakat pribumi Sabah, kini menarik lebih ramai ahli daripada masyarakat Cina.

“Malah, ramai menggesa kami bertanding di kawasan mereka,” katanya dipetik sebagai berkata.

Menurut bancian 2020, masyarakat Cina terdiri daripada kira-kira 248,920 orang, bersamaan 7.3% penduduk Sabah.

Oh Ei Sun
Oh Ei Sun.

Oh Ei Sun, seorang felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata naratif ‘Sabah Didahulukan’ tidak banyak mempengaruhi pengundi Cina, yang dari segi fahaman politik sehaluan dengan parti nasional.

“Identifikasi politik orang Cina Sabah seakan-akan sama dengan orang Cina di Semenanjung, iaitu menggemari wawasan Malaysia untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Lee dan Oh meragui spekulasi mengatakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan DAP di Sabah boleh mendorong peralihan sokongan ke arah parti tempatan seperti STAR atau Parti Bersatu Sabah.

Lee berkata pengundi Cina di Sabah memahami kepentingan suatu gabungan politik yang kukuh berbanding perpecahan.

“Jika parti tempatan mendapat sokongan, ia boleh melemahkan kekuatan gabungan di peringkat negeri, lalu menjejaskan keyakinan perniagaan dan kestabilan dasar,” katanya.

Oh menambah tiada parti berasaskan Cina lain yang menonjol sebagai alternatif yang berdaya maju kepada DAP di Sabah.

“DAP masih pilihan utama pengundi Cina Sabah, kerana kebanyakan parti berasaskan Cina lain tidak dilihat sehaluan dengan aspirasi politik mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.