
Katanya, langkah itu wajar berikutan keadaan banjir yang masih membimbangkan, dengan memetik laporan 1,015 mangsa daripada 299 keluarga dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah terjejas iaitu Johor Bahru, Kulai, dan Pontian.
“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengambil mudah atau melengahkan pelaksanaan projek tebatan banjir di Johor.
“Saya akan memastikan segala usaha dirancang dilaksanakan segera demi kesejahteraan dan keselamatan bangsa Johor,” katanya di Facebook.
Onn Hafiz memaklumkan, beliau turut berkesempatan turun padang menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara bersama pegawai daerah dan datuk bandar Johor Bahru selain meninjau keadaan sungai di kawasan terjejas.
“Saya menyeru seluruh bangsa Johor terus waspada dan mendengar arahan pihak berkuasa, supaya usaha pengurusan banjir di Johor berjalan lancar. Semoga dipermudahkan segala urusan kita semua,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Azmi Rohani, dilaporkan berkata sepuluh PPS dibuka setakat 8 pagi tadi, selepas tiga daerah di Johor dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan sejak semalam.
Katanya, tiga daerah terbabit adalah Johor Bahru yang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 567 orang diikuti Kulai (269) dan Pontian (57).
Tiga sungai turut dilaporkan melebihi paras bahaya iaitu stesen Sungai Siam di Kampung Sungai Siam dengan bacaan 20.85m, Sungai Skudai di Kampung Laut (4.24m) dan Parit Keliling di Kampung Pasir 1.01m.