
Majistret Ameera Mastura Khamis turut membenarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor menilai sama ada datuk dan nenek Zayn Rayyan layak menjaga adiknya, kata Haresh.
Difahamkan, perintah perlindungan itu dijadual tamat bulan ini.
Sebelum ini, Bernama melaporkan nenek dan datuk saudara Zayn Rayyan diberikan hak jagaan sementara terhadap adiknya.
Haresh berkata anak guamnya memohon supaya kanak-kanak itu dikembalikan kepada datuk dan neneknya kerana mereka mempunyai hubungan rapat serta memahami keperluannya.
“Kanak-kanak itu juga menghidap autisme dan memerlukan penjaga yang sudah biasa dengannya. Dia sepatutnya dijaga oleh ahli keluarganya sendiri,” katanya kepada pemberita.
Semasa prosiding, Haresh membantah cadangan JKM untuk menempatkan kanak-kanak itu di rumah perlindungan, dengan alasan ibu bapa atau datuk dan neneknya adalah penjaga yang lebih sesuai.
Mahkamah kemudian mengarahkan JKM dan peguam berbincang, sebelum mencapai persetujuan untuk mengekalkan penjagaan kanak-kanak tersebut di bawah penjaga sedia ada selama dua bulan lagi, sementara JKM menilai kesesuaian datuk dan neneknya.
Mahkamah menetapkan 16 Mei untuk menyampaikan keputusan.
Peguam Persekutuan Nur Ezzah dan Nurul Aida Mat Rifin mewakili JKM, manakala Haresh dan Marcus Lee bertindak sebagai peguam bagi ibu bapa Zayn Rayyan.
Zayn Rayyan dilapor hilang pada 5 Dis 2023 dan jasadnya ditemukan di anak sungai berdekatan kediamannya sehari kemudian.
Dia dipercayai dibunuh selepas bedah siasat mendedahkan terdapat kesan cedera di leher dan badannya, konsisten untuk mempertahankan diri.
Ibu bapanya, Ismanira dan Zaim Ikhwan Zahar dibicarakan di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pengabaian kanak-kanak itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar Blok R sehingga ke anak sungai berhampiran Apartmen Idaman Damansara Damai, pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.