Kenyataan Muhyiddin tamat spekulasi ‘tebuk atap’, kata pemimpin DAP

Kenyataan Muhyiddin tamat spekulasi ‘tebuk atap’, kata pemimpin DAP

Pengerusi PN sebelum ini menegaskan sebarang perubahan kerajaan perlu melalui proses demokrasi.

syahredzan-johan
Naib Pengerusi DAP Syahredzan Johan berkata kenyataan Muhyiddin Yassin beri ruang kepada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim meneruskan pentadbiran tanpa sebarang kacau ganggu sehingga PRU16. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Kenyataan Muhyiddin Yassin bahawa sebarang perubahan kerajaan perlu melalui proses demokrasi diharap mampu menamatkan sebarang spekulasi ‘tebuk atap’ atau merampas pentadbiran sebelum habis penggal oleh pembangkang, kata pemimpin Pakatan Harapan (PH)

Naib pengerusi DAP yang baru dipilih, Syahredzan Johan, berkata jika pengerusi Perikatan Nasional (PN) benar-benar memegang kata-kata tersebut ia memberi ruang kepada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim meneruskan pentadbiran tanpa sebarang kacau ganggu sehingga PRU16.

Bagaimanapun, Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi berkata kenyataan Muhyiddin bukan jaminan tiada lagi percubaan menukar kerajaan selepas ini.

“Tetapi, sekiranya ada pihak yang masih mengidamkan untuk ganggu- gugat kerajaan, sekurangnya mereka akan menghadapi kesukaran untuk mendapat sokongan daripada Bersatu sendiri,” katanya.

Mengulas hasrat PN menjadi ‘kerajaan menanti’ di Putrajaya dengan menawarkan pentadbiran lebih baik termasuk janji menyelesaikan isu asas rakyat, Syahredzan berkata beliau yakin kerajaan pimpinan Anwar akan terus menjadi pilihan selepas PRU16.

Ketika berucap pada Majlis Iftar Bersama Media di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya semalam, Muhyiddin melaungkan keyakinan PN mampu menerajui negara lebih baik untuk membetulkan isu asas rakyat berbanding kerajaan perpaduan.

Beliau bagaimanapun berkata, sebarang perubahan kerajaan perlu melalui proses demokrasi.

Muhyiddin berkata, hasrat menjadi ‘kerajaan menanti’ di Putrajaya bukan sekadar omong kosong, mengambil kira kemampuan gabungan itu menempuh pandemik Covid-19.

Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda, menyifatkan kenyataan Muhyiddin bahawa PN mampu menerajui pentadbiran negara dengan lebih baik sebagai mimpi di siang hari kerana beliau sudah diberi peluang menjadi perdana menteri sebelum ini.

“…dan terbukti hanya membawa kegagalan. Antaranya pelbagai krisis seperti kekurangan telur, isu harga ayam, kenaikan harga barang, pencabulan demokrasi (Parlimen tak boleh bersidang) dan sebagainya.

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, pula menggesa PN membentangkan belanjawan alternatif terlebih dahulu sebelum bercita-cita kembali menerajui kerajaan.

“Selama tiga tahun menjadi pembangkang tiada sebarang tawaran dibuat dalam penyelesaian kepada isu rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.