
James Chin dari Universiti Tasmania berhujah bahawa sejarah merakam kebingkasan keluarga Lim dalam politik.
Bapa Guan Eng, Lim Kit Siang, pernah menjadi kuasa dominan dalam DAP selama lebih lima dekad, dan Guan Eng sendiri memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan kejayaan parti itu.

“Masih terlalu awal untuk ketepikan beliau. Keluarga Lim mengalami pasang surut sejak 1980-an,” kata Chin kepada FMT.
Menurut Chin, prestasi DAP pada PRU kelak akan menjadi faktor utama dalam menentukan sama ada Guan Eng akan dapat semula peranan kepimpinan yang besar.
“Sekiranya prestasi DAP buruk, ahli akan berkata: ‘Lihat, reformasi tidak akan berjaya, jadi mungkin kita memerlukan kepimpinan lama kembali.'”
Chin berkata penunjuk prestasi utama DAP untuk PRU nanti bukan sekadar mengekalkan 40 kerusi, tetapi mendapatkan kerusi baharu, dan membantu Pakatan Harapan bertahan di Putrajaya.
Kegagalan mencapai matlamat ini boleh menyebabkan ahli mempersoalkan kepimpinan sekarang, katanya.
“Mereka akan kata: ‘Kami beri peluang kepada wajah baharu, tetapi ternyata tak menjadi’.”

Bekas orang kuat DAP, Ronnie Liu, percaya peranan Lim dalam parti akan bergantung pada bagaimana kepimpinan sekarang, di bawah Setiausaha Agung Loke Siew Fook, mengurus hubungan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan rakan Jemaah Menteri yang lain.
Liu berkata prestasi yang baik akan mengehadkan keupayaan Guan Eng untuk mengatasi Loke.
Bagaimanapun, jika DAP bergelut dalam PH — seperti MCA, Gerakan dan MIC pada masa lalu dalam Barisan Nasional — Lim boleh menjadi lebih relevan, katanya.
“Ironinya, LGE memainkan peranan saya ketika pemerintahan Mahathir selama 22 bulan,” kata Liu, merujuk kepada kelantangannya terhadap pentadbiran Pakatan Harapan.
Liu juga menyatakan rasa tidak puas hati yang semakin meningkat dalam kalangan akar umbi dan penyokong DAP.
“Akar umbi dan penyokong parti DAP kini berkata pemimpin parti terlalu senyap pada ketika pandangan ekstremis dan tindakan golongan radikal berleluasa dan tidak dikawal. Jika keadaan ini berterusan, Guan Eng akan ada peranan.
Bagaimanapun, beliau akui Guan Eng menghadapi beberapa cabaran tersendiri, terutama perbicaraan rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang. Beliau juga berkata sukar untuk Guan Eng bersuara sekarang kerana beliau bukan lagi pengerusi parti.
Adakah Guan Eng akan ikut langkah bapa?

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, percaya pemilihan Guan Eng dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) beri isyarat bahawa beliau masih mempunyai pengaruh dalam DAP.
“Hakikat bahawa Guan Eng raih undi yang mencukupi untuk masuk ke CEC menunjukkan beliau masih mempunyai peranan dalam parti.”
Beliau ambil maklum bahawa beberapa pemimpin kanan DAP, seperti Tan Kok Wai dan Fong Kui Lun, tidak bertanding dalam pemilihan CEC, manakala yang lain, seperti Teresa Kok, gagal terpilih.
Menurut Ong, perkembangan itu menekankan betapa penting peranan Lim sebagai penasihat untuk membimbing pemimpin lebih muda dalam mengemudi landskap politik yang sedang berubah.
Bagaimanapun, Ong tidak pasti sama ada Lim sudi memainkan peranan seorang negarawan.
“Sama ada beliau sanggup atau tidak untuk memainkan peranan negarawan — sama seperti peranan yang dimainkan oleh Lim Kit Siang semasa beliau menjadi sebahagian daripada CEC tetapi tidak memegang sebarang jawatan — masih perlu dilihat.”
Menurut Ong, kerjaya politik Guan Eng dibentuk oleh ‘semangat juangnya’, terutama terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Najib Razak, Barisan Nasional, PAS dan Perikatan Nasional.
Guan Eng dalam beberapa peristiwa berselisih dengan pemimpin parti sendiri.
“Bolehkah beliau salur ‘semangat juang’ ini kepada yang lebih strategik dan bertimbang rasa, untuk membantu generasi muda pemimpin DAP memperkasakan parti dan negara?
“Jawapan kepada persoalan ini akan menjadi penting dalam mencorak legasi politik Guan Eng.”