
Ketua Bahagian Undang-undang dan Komunikasi Korporat Jakel Trading Sdn Bhd, Aiman Dazuki, memaklumkan bahawa perbincangan dengan pihak jawatankuasa kuil telah berlangsung selama lebih 10 tahun.
“Kita bersedia untuk beri kos pemindahan sebagai sedikit bantuan,” kata Aiman Dazuki pada sidang media di Hotel Concorde.
Aiman berkata perbincangan antara Jakel Trading dan jawatankuasa kuil sejak ia memperoleh tanah itu sekitar 2012 adalah harmoni.
“Tidak ada apa tindakan mahkamah sebab kita percaya untuk selesaikan perkara ini perlu keadaan menang-menang,” tambahnya.
Semalam, satu laman berita melaporkan kuil Hindu itu berdepan ancaman dirobohkan selepas kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur meluluskan pembinaan sebuah masjid.
Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, terletak di seberang Jakel Mall berhampiran Jalan Masjid India dilaporkan dibina kira-kira 130 tahun lalu.
Laman itu memetik sumber syarikat yang mengesahkan rancangan untuk membina sebuah masjid, yang menurutnya akan dinamakan ‘Masjid Madani’.
Turut dilaporkan pihak jawatankuasa kuil meminta plot tanah yang sesuai untuk pemindahan, tetapi permintaan itu tidak berjaya.
Terdahulu, DBKL memaklumkan ia sudah mengenal pasti lokasi baharu untuk kuil tersebut dan tidak akan melakukan sebarang aktiviti perobohan sehingga pemindahan selesai.
Aiman menjelaskan bahawa DBKL telah mencadangkan beberapa tapak untuk pemindahan kuil tetapi jawatankuasa kuil tidak bersetuju.
Katanya Jakel Trading terima kebenaran untuk memulakan pembinaan masjid pada 2021 tetapi menangguhkan proses itu.
“Kita masih tak lagi mendirikan apa-apa bangunan di situ kerana kita masih menghormati pihak kuil yang menduduki tempat itu sekarang sebab kita nak tunggu perkara ini selesai dahulu barulah kita akan teruskan dengan apa yang sepatutnya,” katanya.
Majlis pecah tanah diteruskan
Aiman berkata majlis pecah tanah bagi pembinaan masjid akan diteruskan seperti yang dirancang, pada 27 Mac ini.
Beliau berkata pihak syarikat mahu majlis dijalankan dalam bulan Ramadan.
Beliau beri jaminan acara tidak akan dijalankan di hadapan kuil dan majlis itu tidak bermakna pembinaan masjid akan dijalankan serta-merta selepas itu.
Aiman juga berkata adalah mustahil untuk membina sebuah masjid tanpa menempatkan semula kuil itu kerana tanah berkenaan (sekitar 12,000 kaki persegi) tidak cukup luas.
Ketua Pegawai Kewangan Jakel Group, Syed Nasrul Fahmi Syed Al-Qadri, menegaskan kedua-dua pihak perlu selesaikan perkara ini secara baik.
“Saya mohon pada media dan pihak-pihak luar sana berilah ruang, masa, dan peluang kepada pihak syarikat, pihak DBKL, dan pihak kuil untuk menyelesaikan isu ini dengan cara yang terbaik.
“Kita sangat-sangat menghormati proses pemindahan,” katanya.