Hukuman mati 5 warga India kerana edar dadah ditukar penjara 30 tahun

Hukuman mati 5 warga India kerana edar dadah ditukar penjara 30 tahun

Lima lelaki itu ditahan dalam serbuan di sebuah makmal memproses dadah di Rantau, Negeri Sembilan, tujuh tahun lalu.

Penjara
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan berkata rayuan lima warga India terhadap sabitan keatas mereka oleh Mahkamah Tinggi pada 2023 adalah tiada merit. (Gambar fail)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan memerintahkan lima warga India menjalani hukuman penjara masing-masing 30 tahun atas dua tuduhan mengedar dadah di sebuah ladang di Rantau, Negeri Sembilan, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai Ahmad Zaidi Ibrahim menolak rayuan Radhakrishnan Syam, Fazril Farook, Sainulabdeen Siyad, Abdul Kalam Sajeev dan Salim Sabeer terhadap sabitan mereka di Mahkamah Tinggi pada 2023.

Bagaimanapun, Zaidi yang bersidang bersama Hakim Azman Abdullah dan Noorin Badaruddin membenarkan hukuman mati terhadap mereka digantikan dengan hukuman penjara bermula dari 3 Ogos 2018.

Mereka masing-masing dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan rotan bagi setiap pertuduhan.

Kedua-dua hukuman penjara itu akan berjalan serentak, bermakna mereka akan menjalani tempoh hukuman selama 30 tahun. Selain itu, mereka dikenakan 24 sebatan, jumlah maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang.

Kelima-lima mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana melakukan persediaan bagi aktiviti pengedaran dadah berbahaya.

Dua pertuduhan dikenakan terhadap mereka selepas pihak berkuasa menemui kira-kira 1.5kg methamphetamine dan 2.7kg ketamin di lokasi kejadian.

Berdasarkan fakta kes, mereka ditahan dalam serbuan polis di sebuah makmal dadah haram yang terletak jauh di dalam ladang kelapa sawit berhampiran pekan Rantau, sekitar jam 6.30 petang pada 3 Ogos 2018.

Polis mula menyerbu sebuah kuil Hindu pada hari yang sama, di mana Radhakrishnan ditangkap bersama seorang lagi individu ketika sedang mengisi air ke dalam sebuah bekas di atas trak pikap.

Mereka kemudiannya membawa polis ke ladang berkenaan, di mana empat lagi suspek ditahan di dalam kawasan berpagar yang digunakan sebagai makmal pemprosesan dadah.

Pelbagai peralatan seperti penimbang, mesin pengedap plastik, alat pemanas serta bekas plastik dan kaca pelbagai saiz turut ditemui.

Siasatan polis mendapati tanah tempat aktiviti itu dijalankan dimiliki oleh seorang individu tempatan yang menyewakannya kepada pihak lain.

Timbalan Pendakwa Raya Noorhisham Jaafar mewakili pihak pendakwaan, manakala peguam Sharonpal Singh mewakili kelima-lima tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.