
Ketua Pengarah Abdul Rashid Bahari, berkata usaha itu antara langkah proaktif FAMA memastikan kecukupan bekalan kegunaan domestik pada musim perayaan.
“Bekalan (kelapa) makin stabil, harga pun nampak menurun sedikit antara lima hingga 10%. Walaupun (harga) tak nampak satu penurunan yang tinggi, tapi yang penting adalah bekalan stabil.
“…walaupun dalam keadaan bekalan yang agak ketat buat masa ini di peringkat dunia, tapi kita masih mendapat bekalan dan ia memadai bagi menampung keperluan Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Agrofiesta Aidilfitri 2025.
Abdul Rashid berkata, bekalan kelapa diperoleh dari Sabah dan Sarawak selain turut mengimport dari Indonesia.
“Import ada dua keadaan iaitu Fama sendiri bersama anak syarikat dan usahawan pengimport sedia ada. Satu lagi pengimport yang terdiri daripada pengilang yang menghasilkan produk kelapa dalam bentuk kelapa parut, kelapa serbuk, dan peket.
“Meskipun Indonesia dan Malaysia sama-sama tinggi permintaan (kelapa), tetapi terima kasih kerana atas kerjasama dua negara dan juga pengimport yang telah lama, kita masih boleh dapatkan bekalan stabil,” katanya.
Beliau berkata, Fama juga menawarkan promosi potongan harga istimewa bagi santan serta jualan bahan mentah pada harga murah di 42 pasar tani khas pra-Aidilfitri bermula 29 Mac, dengan pelancaran peringkat nasional akan disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.