Tak perlu jawatankuasa dwipartisan O&G Sarawak, kata Pemuda PBB

Tak perlu jawatankuasa dwipartisan O&G Sarawak, kata Pemuda PBB

Jawatankuasa tak perlu dibentuk kerana rundingan antara kerajaan persekutuan dengan negeri lancar, kata setiausaha Pemuda PBB.

Pemuda DAP Sarawak sebelum ini mencadangkan agar satu jawatankuasa dwipartisan dibentuk untuk mengukuhkan kedudukan negeri dalam rundingan berhubung hak O&G. (Gambar Petronas)
PETALING JAYA:
Sayap Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berpendapat, pembentukan jawatankuasa dwipartisan minyak dan gas (O&G), seperti dicadangkan oleh Pemuda DAP Sarawak, tidak perlu.

Setiausahanya, Azizul Annuar Adenan berkata, jawatankuasa itu tidak perlu dibentuk kerana rundingan antara kerajaan persekutuan dengan negeri berjalan lancar.

Katanya, jawatankuasa lain, khususnya jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang dianggotai wakil negeri dan persekutuan, telah dibentuk untuk memperjuangkan hak Sarawak.

Jawatankuasa-jawatankuasa tersebut malah mencapai beberapa kejayaan, kata Azizul, memetik Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

“Berbanding bentuk jawatankuasa yang tidak perlu, Pemuda DAP (Sarawak) boleh mula susun strategi dengan rakan sayap mereka dalam kerajaan persekutuan dan di Parlimen untuk sokong perjuangan hak kita di Parlimen,” kata Azizul, lapor Borneo Post.

Pemuda DAP Sarawak sebelum ini mencadangkan agar jawatankuasa dwipartisan dibentuk untuk mengukuhkan kedudukan negeri dalam rundingan dengan kerajaan persekutuan berhubung hak minyak dan gasnya.

Ketua biro pendidikan politik sayap itu, Jordan Soo berkata, cadangan berkenaan telah dikemukakan kepada pejabat premier.

Awal bulan ini, DAP Sarawak yang menjadi pembangkang di negeri itu berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan gabungan pemerintah dalam pertikaian dengan kerajaan persekutuan mengenai hak minyak dan gasnya.

Menurut Setiausaha Pemuda DAP Sarawak George Lam, sudah tiba masa untuk partinya dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyeru agar perdamaian dicapai dan tiada lagi politiking.

Dalam pada itu, Senator Robert Lau daripada GPS mengecam ‘penyaluran’ sumber asli dari Malaysia Timur untuk membangunkan negeri lain, yang menyebabkan Sabah dan Sarawak ketinggalan berbanding Semenanjung dari segi pembangunan.

“Sarawak dan Sabah terus kekurangan dana untuk pembangunan dan masih ramai yang miskin di tempat kita,” katanya, lapor Borneo Post.

Lau turut menzahirkan rasa tidak senang berhubung laporan FMT bertajuk ‘Henti pertikai hak O&G Petronas, bekas pegawai Perbendaharaan beritahu Sarawak’, mendakwa ia menggambarkan imej buruk kerajaan Sarawak.

“Laporan berita sebegini yang sering diterbitkan, memburukkan imej kerajaan Sarawak selain cetus kekeliruan berhubung isu minyak dan gas di negeri itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.