PN ‘kerajaan menanti’, Muhyiddin yakin boleh perbetul isu asas rakyat

PN ‘kerajaan menanti’, Muhyiddin yakin boleh perbetul isu asas rakyat

Pengerusi PN berkata kemampuan gabungan itu terbukti selepas bawa keluar negara daripada pandemik Covid-19.

Muhyiddin Yassin berkata, PN mampu membetulkan isu asas rakyat lebih baik daripada kerajaan perpaduan.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) melaungkan keyakinan mampu menerajui negara lebih baik untuk membetulkan isu asas rakyat berbanding kerajaan perpaduan.

Pengerusi Muhyiddin Yassin, berkata sebarang perubahan kerajaan perlu melalui proses demokrasi.

“Kita (PN) boleh betulkan keadaan. Rakyat kini berhadapan dengan situasi yang amat sukar, pendapatan tidak meningkat, barang naik luar jangkaan, subsidi sudah tidak ada, ini amat menyulitkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Bersama Media di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya.

Muhyiddin berkata, hasrat menjadi “kerajaan menanti” di Putrajaya bukan sekadar omong kosong, mengambil kira kemampuan gabungan itu menempuh pandemik Covid-19.

Beliau berkata, walaupun tiada rujukan menguruskan wabak berkenaan, kerajaan gabungan itu berjaya mentadbir dengan baik, lalu keluar daripada pandemik.

“Masa itu tak ada vaksin tak ada apa semua. Tapi, akhirnya kita dapat menyelesaikan masalah ini termasuk menyelamatkan ekonomi negara,” katanya.

Katanya, sehingga hari ini orang ramai yang ditemuinya masih mengucapkan penghargaan atas inisiatif diperkenalkan kerajaan PN seperti moratorium pinjaman dan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Mereka kata…kalaulah tidak adanya apa disebutkan soal subsidi ataupun moratorium yang kita sediakan waktu itu, apa lagi pengeluaran KWSP dan dan sebagainya, sebahagian besar mereka tidak akan dapat terus hidup.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.