
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata lelaki berusia 34 tahun itu dalam laporan polisnya semalam mendakwa
berkenalan seorang wanita di Facebook menggunakan nama “Celeste Yee” pada 6 Feb lalu.
Menurutnya, mangsa ditawarkan menyertai pelaburan emas melalui laman sesawang diberikan suspek yang menjanjikan keuntungan dalam tempoh singkat.
“Pada peringkat awal, mangsa melabur RM5,000 dan menerima pulangan berjumlah RM5,700.
“Dalam tempoh 12 Feb hingga 16 Mac lalu, mangsa melakukan 37 transaksi ke lima akaun bank berbeza berjumlah RM766,788, tetapi gagal mengeluarkan modal serta keuntungan dijanjikan,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, sumber kewangan daripada wang simpanan mangsa, pinjaman ibu dan bank.
Yahaya menasihati orang ramai lebih berwaspada dengan tawaran pelaburan menjanjikan pulangan luar biasa.
“Sebaiknya, orang ramai menyemak kesahihan mana-mana syarikat pelaburan melalui pihak berkuasa berkaitan sebelum membuat pelaburan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.