Disyaki keluar wang syarikat RM8.4 juta, suami isteri antara direman

Disyaki keluar wang syarikat RM8.4 juta, suami isteri antara direman

Pengarah syarikat turut direman bagi bantu siasatan kes berlaku pada 2018.

macc
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Zainul Darus, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
PETALING JAYA:
Suami isteri serta pengarah syarikat direman kerana disyaki kemuka tuntutan butir matan palsu pengeluaran wang syarikat hampir RM8.4 juta.

Bernama memetik sumber, melaporkan perintah reman empat hari bermula hari ini sehingga Sabtu terhadap dua suspek lelaki, dikeluarkan Majistret Nabila Nizam di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor pagi tadi, manakala seorang lagi suspek dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber itu, ketiga-tiga suspek terdiri dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 dan 60-an ditahan antara 3 petang hingga 11 malam semalam, ketika hadir memberi keterangan di Johor.

“Semua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara April hingga Oktober 2018.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek yang masing-masing merupakan pengarah dan konsultan syarikat, disyaki bersubahat mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu mengeluarkan wang syarikat berjumlah kira-kira RM8.4 juta,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Zainul Darus mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.