Warga emas tampar pemuda Cina didakwa esok

Warga emas tampar pemuda Cina didakwa esok

Ketua polis Johor Bahru Utara berkata, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

tampar di public
Tangkap layar rakaman kejadian di Johor apabila seorang pemuda Cina ditampar beberapa kali kerana makan pada siang hari ketika Ramadan.
PETALING JAYA:
Seorang warga emas dikatakan menampar seorang pemuda Cina yang makan di khalayak ramai pada siang hari Ramadan akan didakwa di Mahkamah Johor Bahru esok.

Ketua Polis Johor Bahru Utara Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kertas siasatan kes itu dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dan telah diputuskan bahawa lelaki itu akan dituduh di mahkamah.

“Supek warga tempatan berusia 65 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara hingga satu tahun atau denda hingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, mangsa dikenali sebagai Elijah telah membuat laporan di Balai Polis Tampoi berhubung kejadian itu.

Menerusi hantaran di platform media sosial X, mangsa mendakwa kejadian berlaku ketika beliau ingin makan di sebuah pusat beli-belah.

Warga emas terbabit kemudian bertanya sama ada beliau beragama Islam atau tidak, sebelum meminta untuk melihat kad pengenalannya.

Lelaki itu kemudian tiba-tiba menamparnya sebelum ditenangkan oleh anaknya yang kemudian meminta maaf bagi pihak bapanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.