
Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Nooh Gadot berkata, perbuatan itu bukan sahaja salah dari segi undang-undang, malah tidak menepati akhlak Islam.
Katanya, Islam tidak mengajar umatnya menggunakan kekerasan dalam menegur atau menyampaikan dakwah, malah Rasulullah SAW sendiri menggunakan pendekatan lembut, berhemah dan penuh hikmah ketika berdakwah.
“Antara etika nasihat perlu dijaga termasuk bersopan-santun (tidak kasar atau mengaibkan), tidak memaksa, fahami situasi dan latar belakang individu ditegur (dalam kes ini bukan Islam) dan gunakan kata-kata baik.
“Tindakan menampar seorang lelaki Cina yang makan bukan sahaja perbuatan melanggar undang-undang, tetapi mencemarkan imej Islam sebagai agama menganjurkan kasih sayang dan kelembutan,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, perbuatan kasar sebegitu boleh mencetuskan salah faham, ketegangan kaum serta menimbulkan persepsi negatif terhadap Islam di mata masyarakat bukan Islam.

“Kejadian seperti ini seharusnya menjadi pengajaran, bukan bahan untuk mencetuskan perbalahan,” katanya.
Terdahulu, menerusi hantaran di platform media sosial, mangsa mendakwa kejadian berlaku ketika beliau ingin makan di sebuah pusat beli-belah di Johor.
Menurutnya, ketika hendak makan, seorang warga emas bertanya kepadanya sama ada beliau beragama Islam atau bukan.
Lelaki itu kemudian meminta untuk melihat kad pengenalan mangsa sebelum tiba-tiba menamparnya.
Dalam pada itu, anak warga emas itu segera menenangkan keadaan dan memohon maaf atas tindakan bapanya.
Dilaporkan hari ini bahawa polis telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengulas lanjut, Nooh berkata, orang bukan Islam berhak makan atau minum di khalayak ramai pada Ramadan tanpa sebarang sekatan, selagi ia dilakukan dengan sopan, bukan berniat menghina atau melakukan provokasi terhadap mana-mana pihak.
Beliau menegaskan Islam sendiri mengiktiraf hak kumpulan bukan Islam bawah konsep keadilan untuk semua.