Polisi P Pinang bukti manfaat URA, kata exco

Polisi P Pinang bukti manfaat URA, kata exco

Exco Perumahan dan Alam Sekitar S Sundarajoo kata satu projek rintis membolehkan penduduk tinggal di kediaman lebih luas dan selesa.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, S Sundarajoo, kata pembaharuan semula bandar sediakan kediaman lebih luas dan selesa kepada penduduk yang kini tinggal di rumah kos rendah lama.
PETALING JAYA:
Seorang exco Pulau Pinang menyokong cadangan Akta Pembaharuan Bandar (URA), menegaskan dasar serupa di negeri itu meningkatkan kesejahteraan penduduk.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, S Sundarajoo, berkata Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (Pembangunan Perumahan) yang diperkenalkan tiga tahun lalu mengenal pasti enam projek perintis melibatkan 6,837 unit kediaman sedia ada.

Antara projek yang berjaya dilaksanakan adalah Pembaharuan Semula Bandar (PSB) Mahsuri, di mana penduduk kini tinggal di unit seluas 850 hingga 900 kaki persegi, berbanding rumah lama yang hanya seluas 247 hingga 547 kaki persegi.

“Ini membuktikan bahawa projek PSB boleh dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat besar kepada rakyat,” menurut kenyataan.

Katanya, projek PSB seperti PSB Mahsuri bukan hanya memberi manfaat kepada golongan tertentu, tetapi akan memberi kesan positif kepada seluruh masyarakat dengan menyediakan kediaman yang lebih baik, lebih selesa, dan lebih berdaya huni.

Menurutnya, pemilik kediaman yang terlibat dalam projek PSB juga akan menerima unit gantian yang lebih luas, selesa, dan dilengkapi dengan kemudahan masyarakat serta tempat letak kenderaan secara percuma

“Ini jelas menunjukkan bahawa pelaksanaan PSB bukan sahaja tidak menjejaskan hak rakyat, malah meningkatkan kualiti hidup mereka.

“Justeru, dakwaan bahawa PSB akan mengancam atau merampas hak golongan tertentu, terutamanya golongan berpendapatan rendah, adalah tidak berasas sama sekali,” katanya.

Beliau juga menegaskan tiada penduduk dalam projek perintis itu yang akan dipaksa berpindah.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, mendakwa bahawa URA adalah kaedah halus untuk menggantikan orang Melayu dan India yang miskin.

Beliau berkata Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) akan menentang rang undang-undang itu kerana berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat.

Bagaimanapun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menafikan bahawa akta menyasarkan mana-mana kaum tertentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.