Pelajar IPT disyaki tikam rakan wanita direman 6 hari

Pelajar IPT disyaki tikam rakan wanita direman 6 hari

Polis memohon perintah reman itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh.

Wan Azharuddin Wan Ismail
Ketua Polis Kuala Muda Wan Azharuddin Wan Ismail berkata polis akan merakam keterangan mangsa dan saksi kejadian melengkapkan siasatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pelajar institut pengajian tinggi yang disyaki menikam kenalan wanitanya beberapa kali hingga parah di kampus universiti itu di Sungai Petani semalam direman enam hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret M Kalairasi terhadap suspek yang berusia 19 tahun itu di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bermula hari ini sehingga 23 Mac, lapor Harian Metro.

Ketua Polis Kuala Muda Wan Azharuddin Wan Ismail berkata polis memohon perintah reman itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh.

Katanya, suspek dirawat dan ditahan di wad akibat tertikam tangan ketika bergelut dengan mangsa yang juga berusia 19 tahun serta akan dibawa ke lokap IPD Kuala Muda selepas dibenarkan keluar daripada hospital.

“Mangsa yang cedera di bahagian belakang badan dan leher akibat ditikam kini berada dalam keadaan stabil dan sedar.

“Polis akan merekod keterangan daripada mangsa dan beberapa saksi di tempat kejadian untuk melengkapkan siasatan,” katanya.

Semalam media melaporkan, pelajar wanita itu cedera parah selepas diserang suspek ketika berjalan bersama beberapa rakannya ke perpustakaan.

Difahamkan, serangan itu dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati suspek terhadap mangsa berkait isu peribadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.