Malaysia sedia bawa masuk 15 tahanan Palestin

Malaysia sedia bawa masuk 15 tahanan Palestin

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata tahanan dibebaskan Israel itu dibawa masuk kerana tidak dibenar kembali ke Palestin.

Menteri Luar Mohamad Hasan berharap rakyat tidak salah faham dengan keputusan membawa masuk warga Palestin jadi tahanan Israel itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia sedia menerima 15 tahanan Palestin yang dibebaskan Israel dalam sebahagian perjanjian gencatan senjata sementara di Gaza, kata Menteri Luar Mohamad Hasan.

Mohamad berkata usaha membawa kumpulan itu ke Malaysia dalam proses rundingan dan pemilihan.

“Bukan sahaja Malaysia, malah Turki, Mesir, Pakistan dan Indonesia turut mengambil bahagian dalam usaha ini sebagai negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” katanya dilaporkan Sinar Harian selepas satu majlis di Negeri Sembilan.

Beliau berkata sebahagian syarat gencatan senjata, hasil inisiatif Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat, tahanan yang dibebaskan tidak boleh pulang ke Gaza atau kampung halaman mereka.

Sehubungan itu, Mohamad berharap rakyat tidak salah faham dengan keputusan membawa masuk bekas tahanan itu kerana ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab antarabangsa negara.

“Saya harap rakyat Malaysia yang berjiwa besar tidak salah anggap. Jangan kata ‘kera di hutan disusukan, anak sendiri kelaparan’. Itu tidak benar. Lebih-lebih lagi sebagai negara yang lantang menyokong perjuangan Palestin,” katanya.

Mohamad berkata kesediaan Malaysia menerima 15 rakyat Palestin yang dibebaskan itu adalah jumlah yang memadai dan tidak membebankan.

“Jika dibandingkan dengan negara lain seperti Lubnan dan Mesir yang menerima ratusan bekas tahanan, Malaysia hanya mengambil 15 orang sahaja,” katanya.

Mengenai lokasi penempatan bekas tahanan itu, Mohamad berkata perkara itu akan diputuskan kemudian, namun kaedahnya akan sama seperti pelarian Syria yang pernah dibawa sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.