Lembaga Pelabuhan Klang masih hutang kerajaan RM3.2 bilion

Lembaga Pelabuhan Klang masih hutang kerajaan RM3.2 bilion

Pengurus Besar PKA K Subramaniam berkata mereka membuat pembayaran balik tahunan kepada kerajaan persekutuan tanpa gagal.

Port Klang Free Zone
Kerajaan memberi pinjaman RM3.8 bilion kepada Lembaga Pelabuhan Klang pada 2013 untuk menaja jamin kos pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Sebanyak RM3.2 bilion daripada RM3.8 bilion pinjaman persekutuan yang diberikan kepada Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) belum dijelaskan, kata Pengurus Besarnya, K Subramaniam.

Pinjaman itu diberikan kepada LPK pada 2013 untuk menanggung kos pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Di bawah perjanjian pinjaman itu, PKA perlu membuat pembayaran balik tahunan sebanyak RM222 juta mulai 2018 kepada Kementerian Kewangan.

Subramaniam berkata, PKA membuat pembayaran balik tahunan kepada Putrajaya tanpa gagal.

Beliau turut mendedahkan defisit dan lebihan tahunan PKA saling mengimbangi sejak enam tahun lalu.

Menurutnya, PKA mencatatkan kerugian RM600,000 pada 2023.

“Tahun ini, pendapatan kami dijangka melepasi RM400 juta, dengan lebihan RM10 juta. Kami juga mempunyai rizab lebih RM500 juta.”

Pada 2018, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mendedahkan pembayaran tahunan PKA kepada Putrajaya menyebabkan ia mengalami defisit aliran tunai hampir RM43 juta tujuh tahun lalu.

Ditanya bagaimana PKA mampu menjana pendapatan jangkaan sebanyak RM400 juta, Subramaniam berkata, ia hasil pengurusan aset tanah dan perkhidmatan pelabuhan lebih baik untuk pulangan lebih tinggi.

“Kami akan menambah baik operasi PKFZ untuk menjana pendapatan lebih tinggi dengan kadar pengisian gudang dan perkhidmatan pengurusan taman perindustrian lebih tinggi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.