
Sinar Harian melaporkan Muhammad Nazrin Md Yunus, 30, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mohamad Kamil Nizam, yang turut mengarahkannya menjalani hukuman penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda.
Dia didapati menyimpan tanpa lesen seekor landak raya (Hystrix brachyura) dan burung murai batu (Copsychus malabaricus), hidupan liar dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716], di sebuah rumah di Felda Pasoh 1, Simpang Pertang, Jelebu kira-kira 1.30 tengah hari 21 Mei 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta 716 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon denda ringan kerana tiada pekerjaan tetap dan menyara ibu bapanya.
Pegawai Pendakwa Perhilitan, Ain Nur Shainaz Abdullah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Di kamar sama, pembantu kedai makan, Tan Mei Ching, 42, didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah menyimpan dua kura-kura African Spurred (Geochelone sulcata) tanpa lesen di sebuah rumah di Taman Baiduri April tahun lalu.
Dia didakwa menyimpan hidupan liar dilindungi itu di bawah Jadual Pertama Akta 716.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam berkata, keluarganya tidak tahu mengenai undang-undang memelihara haiwan itu, yang dianggap mereka sebagai fengshui.
Kedua-dua tertuduh kemudiannya membayar denda.