Jangan buat tak tahu keresahan akar umbi, bekas tokoh DAP beritahu CEC baharu

Jangan buat tak tahu keresahan akar umbi, bekas tokoh DAP beritahu CEC baharu

Ronnie Liu berkata, parti itu tidak boleh lagi berdiam diri mengenai isu ekstremisme kaum dan agama yang semakin berat.

Ronnie Liu
Bekas tokoh DAP Ronnie Liu berkata, wujud persepsi bahawa DAP tidak mendesak reformasi dilaksanakan.
PETALING JAYA:
Bekas tokoh DAP Ronnie Liu menyifatkan barisan kepimpinan baharu parti itu sebagai ‘berpotensi’, tetapi beliau turut mengingatkan mereka agar tidak mengabaikan keresahan yang semakin meningkat dalam kalangan akar umbi.

Liu yang meninggalkan DAP pada 2023 selepas mendakwa haluannya menyimpang berkata, barisan kepimpinan baharu yang terdiri daripada individu muda, berbilang kaum dan berpengalaman itu harus diberi masa dan ruang untuk membuktikan diri mereka.

Beliau bagaimanapun berkata, mereka tidak boleh lagi berdiam diri mengenai isu ekstremisme kaum dan agama yang semakin berat.

Katanya, parti itu sudah dianggap terlalu senyap dalam isu berkaitan perkauman dan pelampau agama, yang ada antaranya semakin menjadi-jadi.

Liu turut mendakwa, wujud persepsi bahawa DAP tidak mendesak reformasi dilaksanakan.

“Jangan anggap remeh keresahan dan kegelisahan akar umbi,” kata bekas ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) itu.

Pada pemilihan parti Ahad lepas, Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo, yang memperoleh undi terbanyak, dinamakan sebagai pengerusi CEC baharu, menggantikan Lim Guan Eng.

Liu memberitahu FMT, wujud kebimbangan yang semakin besar mengenai hala tuju negara, termasuk hakisan identiti sekular Malaysia.

“Malaysia mesti kekal sebagai negara sekular kerana ia sebuah negara berbilang kaum,” katanya.

Liu berkata, parti itu mesti mendapatkan semula kepercayaan dan keyakinan penyokongnya, memandangkan agenda reformasi tidak maju seperti yang diharapkan.

Beliau memberi amaran bahawa dengan kekal ‘senyap secara terhormat’, kredibiliti parti itu boleh terjejas.

“DAP, sebagai komponen terbesar kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan, mesti mempamerkan imej yang kukuh dan positif, bukan menimbulkan persepsi yang salah bahawa ia tunduk kepada rakan gabungan lain,” katanya.

Liu berkata, DAP yang kuat dan bersatu akan mengukuhkan wawasan kerajaan tentang ihsan, kemodenan, keadilan, demokrasi dan keharmonian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.