2 ditahan cuba seludup masuk 40 tan beras putih

2 ditahan cuba seludup masuk 40 tan beras putih

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta Shahrum Hashim berkata beras putih itu dipercayai akan dibawa ke kilang di sekitar Jitra untuk dibungkus semula sebelum dipasarkan.

PGA menahan lori membawa 40 tan beras putih yang disyaki diseludup dari negara jiran Ahad lalu. (Gambar PGA)
PETALING JAYA:
Dua lelaki ditahan cuba menyeludup 40 tan beras putih dari negara jiran Ahad lalu.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Shahrum Hashim, berkata dua warga tempatan berusia 30 dan 34 tahun itu ditahan di Jitra pada 4 petang Ahad, hasil operasi penguatkuasaan Kawalselia Padi dan Beras oleh Cawangan Risik Ibu Pejabat Risik Briged Utara PGA.

Menurutnya, beras putih itu disyaki diseludup dari negara jiran melalui Rantau Panjang, sebelum dibawa ke utara untuk dipasarkan.

“Berdasarkan soal siasat, beras dibawa dari Kelantan dan pasukan risikan mengekori mereka dari Hentian Banjaran Titiwangsa hingga ke lokasi tangkapan.

“Kita percaya beras itu untuk dibawa ke kilang sekitar Jitra untuk dibungkus semula,” katanya menurut Berita Harian sambil menambah beras dirampas itu dianggarkan bernilai RM160,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM15,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, Briged Utara PGA giat melakukan pengawasan dan rondaan di sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah bagi mengekang aktiviti menyalahi undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.