
Ketua Kluster TVET Kongres Ekonomi Bumiputera, Shamsuddin Amran, berkata negara untuk jangka panjang memerlukan tenaga mahir bagi mengembangkan lagi potensi sektor O&G dan ketika ini ruang itu disediakan Sapura Energy menerusi 2,000 vendornya.

Katanya, kebanyakan vendor terbabit menggajikan majoriti pekerja TVET Bumiputera yang dibimbangi berisiko hilang pekerjaan jika suntikan dana berbentuk modal pinjaman itu tidak disalurkan.
“Perusahaan minyak dan gas masih mempunyai permintaan tinggi. Petronas dan Shell memerlukan perkhidmatan Sapura Energy, jadi niat kerajaan baik untuk pastikan banyak pekerjaan dapat diselamatkan, pada masa sama membantu mengembangkan sektor terbabit.
“Jika suntikan dana ini dikawal selia dengan baik, peluang pekerjaan untuk Bumiputera akan terus terjamin kerana majoriti 80% produk TVET adalah dalam kalangan Bumiputera,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas pelaburan RM1.1 bilion Malaysia Development Holdings Sdn Bhd (MDH) dalam Sapura Energy baru-baru ini.
Minggu lalu, Permodalan Nasional Bhd (PNB), pemegang saham utama Sapura Energy berkata dana pelaburan itu akan digunakan untuk membayar vendor tempatan syarikat minyak dan gas tersebut, yang kebanyakannya perusahaan kecil dan sederhana melibatkan kira-kira 59,000 pekerja.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula menegaskan pelaburan itu bukan untuk menyelamatkan syarikat berkenaan kerana kerajaan menetapkan beberapa syarat sebelum meluluskannya, termasuk keperluan peletakan jawatan pengerusi dan pengurusan kanan syarikat.
Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata peranan Sapura Energy dalam membangunkan tenaga kerja mahir dalam kalangan warga tempatan perlu diakui dengan ada antaranya bekerja di kapal dan pelantar minyak dan gas di luar negara.
“Lebih-lebih dalam konteks membantu Bumiputera, Sapura Energy banyak ambil pekerja dari institusi kemahiran Majlis Amanah Rakyat (Mara),” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pengurusan baharu syarikat terbabit memanfaatkan suntikan dana kerajaan untuk mengelakkan masalah lama berulang seperti bayaran kepada vendornya.
Pada Jun 2023, Sapura Energy bekerjasama dengan kerajaan untuk membentuk kemahiran tenaga kerja melalui perkembangan inisiatif berterusan dalam TVET.
Latihan di kawasan fabrikasinya di Lumut, Perak, bermatlamat mengurangkan kebergantungan negara terhadap buruh asing serta memastikan bayaran kompetitif untuk pekerja.