Sekat perjalanan bukan penyelesaian tunggal peminjam PTPTN ingkar, kata menteri

Sekat perjalanan bukan penyelesaian tunggal peminjam PTPTN ingkar, kata menteri

Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan belum muktamad langkah perkenal semula larangan perjalanan dan akan nilai faktor lain.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir berkata KPT akan ambil pendekatan holistik dalam menilai faktor lain sebelum menentukan tindakan seterusnya bagi mendapatkan bayaran balik pinjaman PTPTN tertunggak.
PUTRAJAYA:
Larangan perjalanan ke luar negara bukan satu-satunya langkah dipertimbangkan kerajaan untuk mendapatkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tertunggak, kata Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, kementerian akan mengambil pendekatan holistik dalam menilai faktor-faktor lain sebelum menentukan tindakan seterusnya, sambil menegaskan belum ada keputusan akhir mengenai pengenalan semula larangan ke luar negara bagi peminjam ingkar.

“Tidak, kami belum (memuktamadkan sebarang keputusan mengenai larangan perjalanan). Kami akan melihat langkah seterusnya yang perlu diambil kerana kami tidak menganggap larangan perjalanan sebagai satu-satunya langkah.

“Saya juga ingin tegaskan di sini, kita perlu melihat secara menyeluruh faktor-faktor yang membolehkan kita mengutip bayaran balik daripada peminjam,” katanya pada sidang media selepas program Ihya Ramadan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Zambry berkata demikian apabila ditanya mengenai sama ada kerajaan telah memuktamadkan pengenalan semula larangan perjalanan ke luar negara bagi peminjam PTPTN yang gagal membayar balik hutang.

Pada 11 Mac, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mustapha Sakmud berkata, kerajaan sedang mempertimbang untuk memperkenalkan semula larangan perjalanan ke luar negara itu, yang dimansuhkan tujuh tahun lepas.

Pada Januari, PTPTN mengeluarkan 2.1 juta notis peringatan kepada peminjam yang gagal membuat bayaran mengikut jadual setakat tempoh itu.

Peringatan tersebut adalah sebahagian daripada usaha PTPTN untuk menggalakkan bayaran balik pinjaman dan memastikan kelestarian skim pembiayaan pendidikan.

Zambry hari ini berkata, terdapat peningkatan bayaran balik pinjaman selepas notis peringatan itu dikeluarkan.

“Setakat ini, kami telah menghantar 2.1 juta surat dan notifikasi kepada peminjam, dan kami mendapati terdapat peningkatan dalam kadar bayaran balik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.