Pemilihan penempatan doktor melalui ePlacement ditangguh

Pemilihan penempatan doktor melalui ePlacement ditangguh

Kementerian Kesihatan berkata permohonan dijangka dibuka enam hingga lapan minggu lagi selepas sistem baharu dimuktamad dan diuji.

doctor doktor laptop computer
Kementerian Kesihatan berkata proses pemilihan penempatan doktor pada 27 Feb lalu menunjukkan laman sesawang ePlacement diakses lebih 19 juta kali mengakibatkan pangkalan data sistem tidak dapat dicapai. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Proses pemilihan penempatan pada 25 hingga 27 Mac ini menerusi sistem ePlacement ditangguhkan susulan gangguan teknikal serius, kata Kementerian Kesihatan

Dalam kenyataan, KKM berkata Sistem ePlacement – yang menempatkan pegawai perubatan ke lokasi mempunyai kekosongan berdasarkan ‘first come, first serve’ – akan diganti sistem lebih telus, adil, berasaskan merit dan memenuhi penawaran dan permintaan.

“KKM dijangka membuka semula permohonan dalam masa enam hingga lapan minggu lagi bagi membolehkan sistem baharu ini dimuktamadkan dan diuji kemapanannya sebelum dilaksanakan,” kata kenyataan itu.

Katanya, pada sesi pada 27 Feb lalu menyaksikan laman sesawang ePlacement diakses lebih 19 juta kali mengakibatkan pangkalan data sistem tidak dapat dicapai.

KKM berkata, ini merupakan salah satu faktor besar yang menyumbang kepada penangguhan pemilihan penempatan ini.

Katanya, masalah gangguan teknikal tersebut menyebabkan lebihan penempatan yang diluluskan berbanding kuota asal, dan kurang daripada 1% kekosongan di Sabah dan Sarawak dipenuhi.

“Ini mengakibatkan data yang telah diperoleh langsung tidak boleh digunakan. Mengambil kira insiden yang berlaku, KKM membuat penambahbaikan kepada proses dan infrastruktur.

“Bagaimanapun, setelah membuat beberapa simulasi dan penelitian, ia masih tidak dapat menawarkan proses dan keputusan pemilihan penempatan yang adil untuk semua pihak.”

KKM juga berkata, pemilihan penempatan 2,245 calon pegawai perubatan lantikan tetap yang dijadualkan hari ini ditangguhkan susulan gangguan teknikal serius berpunca daripada akses luar biasa terhadap sistem ePlacement.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.