Ketat kawalan keselamatan konsert tanpa ‘hambat’ industri, kata persatuan

Ketat kawalan keselamatan konsert tanpa ‘hambat’ industri, kata persatuan

Presiden Persatuan Seniman Malaysia Zed Zaidi berkata konsert dianjurkan industri hiburan mampu merangsang ekonomi.

pinkfish
Persatuan Seniman Malaysia berkata pihak berkuasa dan penganjur perlu ‘duduk semeja’ dalam usaha menambah baik garis panduan sedia ada penganjuran konsert. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu mempunyai matlamat khusus untuk mencapai keseimbangan antara keselamatan dan kelangsungan industri hiburan dalam penambahbaikan garis panduan penganjuran konsert.
Zed Zaidi.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, berkata kelompangan dalam tapisan keselamatan penganjuran perlu ditangani tanpa ‘menghambat’ pertumbuhan industri itu yang mampu merangsang ekonomi domestik.

Katanya, justeru pihak berkepentingan iaitu pihak berkuasa dan penganjur perlu ‘duduk semeja’ dalam usaha menambah baik garis panduan sedia ada.

“Malaysia boleh mencontohi negara lain dengan mengadaptasi langkah keselamatan yang berkesan tanpa menjejaskan daya tarikan acara. Antaranya penggunaan teknologi seperti imbasan muka dan gelang keselamatan dengan data kesihatan asas.

“Selain itu, pemantauan secara langsung oleh pihak berkuasa melalui kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi acara,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan tidak merancang melaksanakan ujian air kencing sebagai antara syarat pelaksanaan konsert, namun sedia meneliti cadangan dan perubahan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa.

Ia susulan kematian empat pengunjung konsert Pinkfish akibat penyalahgunaan dadah pada ambang tahun baharu di Bandar Sunway 31 Dis lalu.

Zed Zaidi berkata, penganjur juga boleh meningkatkan kehadiran petugas keselamatan yang terlatih bagi memantau dan mengesan aktiviti mencurigakan, seiring saringan lebih rapi termasuk penggunaan anjing pengesan.

Freddie Fernandez.

Sementara itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Freddie Fernandez, berharap sebarang penambahbaikan terhadap garis panduan tersebut tidak melibatkan pengurangan atau ‘pengharaman’ khususnya konsert muzik elektronik (EDM).

Sungguhpun agak banyak kes maut akibat penyalahgunaan dadah dilaporkan dalam acara muzik melibatkan EDM, beliau berpendapat insiden itu boleh ditangani menerusi kawalan lebih ketat dan pasukan keselamatan mencukupi di pintu masuk.

“Masyarakat perlu diberi peluang untuk melihat idola mereka. Satu ekosistem cukup besar turut terjejas jika ada usaha mengharamkan konsert kerana ia dapat meningkatkan aktiviti ekonomi dan menyediakan pelbagai peluang kerjaya selain bidang muzik.

“Imej negara juga akan terjejas kerana ada pelancong asing yang datang disebabkan konsert,” katanya, menyifatkan pentingnya suatu langkah yang mampu mewujudkan situasi menang-menang diambil.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam masa terdekat bagi merancang kempen kesedaran lebih menyeluruh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.