Kementerian Pertahanan nilai semula perolehan Black Hawk

Kementerian Pertahanan nilai semula perolehan Black Hawk

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kaedah itu membabitkan perjanjian pendekatan kerajaan dengan kerajaan atau model sewaan digunakan ketika ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan pada Majlis Santunan Ramadan bersama Pekerja Sektor Pembersihan anjuran Yayasan Amal Asas di Durian Tunggal semalam. (Gambar Bernama)
ALOR GAJAH:
Kementerian Pertahanan dalam proses menilai semula kaedah terbaik perolehan helikopter UH-60 Black Hawk untuk digunakan Tentera Darat (TDM) yang dijangka dimuktamadkan tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata kaedah itu membabitkan perjanjian pendekatan kerajaan dengan kerajaan (G2G) atau model sewaan digunakan ketika ini.

“Jadi, kita harus melihat proses semasa, terutama dari segi harga semasa kerana kita tahu itu keperluan kita di peringkat Kementerian Pertahanan dan kita kena lalui beberapa proses sebelum kita melihat bagaimana mendapatkannya (helikopter) dan mempercepatkan usaha itu.

“Kita ada banyak model hari ini, sama ada G2G atau model sewaan dan perbandingan serta penilaian akan dilakukan sebelum diputuskan…Kita cuba selesaikan tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Santunan Ramadan bersama Pekerja Sektor Pembersihan anjuran Yayasan Amal Asas dengan tajaan Iltizam bersama Ekuiti Nasional Bhd.

Adly berkata, tender terbuka perolehan helikopter itu akan dibuka, jika ada keperluan dan terdapat banyak pihak boleh memberi jaminan kepada kerajaan mereka boleh mendapatkan aset berkenaan.

Pada 1 Mac lalu, Kementerian Pertahanan dilaporkan merancang membuka semula tender kontrak sewaan helikopter UH-60 Black Hawk untuk digunakan TDM pada masa depan dan perancangan itu susulan syarikat dilantik gagal membuat penghantaran mengikut tarikh ditetapkan.

Terdahulu, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, 100 pekerja sektor pembersihan diraikan pada majlis berbuka puasa selain penyampaian sumbangan wang tunai sempena Ramadan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.