Jangan buat andaian rundingan Petronas-Petros, kata Fadillah

Jangan buat andaian rundingan Petronas-Petros, kata Fadillah

Timbalan perdana menteri berkata, semua pihak terlibat melihat kepada kepentingan negara dan Sarawak diimbangi.

FADILLAH YUSOF
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berharap rundingan antara Petronas dengan Petros berhubung pengedaran gas di Sarawak berjalan dengan baik serta membawa manfaat kepada negeri dan negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof meminta pihak yang tidak terlibat dalam rundingan antara Petronas dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) agar tidak membuat sebarang andaian berhubungnya.

Fadillah mahu rundingan antara kedua-dua syarikat minyak dan gas itu berhubung pengedaran gas di Sarawak berjalan dengan baik serta membawa manfaat kepada negeri dan negara.

“Orang yang tidak tahu apa yang berlaku dalam lingkungan perbincangan seeloknya jangan buat andaian. Yang pasti, semua melihat kepada kepentingan negara dan pada masa yang sama kepentingan Sarawak juga perlu diimbangi.

“Apa sahaja pembangunan, kalau Sarawak dapat manfaat, pastinya kerajaan persekutuan pun akan dapat, sebab cukai pun akan dibayar kepada kerajaan persekutuan,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Jelajah Bazar Ramadan di Matang Jaya, Kuching, mengulas dakwaan pihak tertentu yang cuba melaga-lagakan Petronas dan Petros berhubung hak pengedaran gas di Sarawak.

Sabtu lepas, Petronas dalam kenyataan memaklumkan, syarikat itu sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri serta Petros berhubung butiran peranan masa depan Petros sebagai agregator gas Sarawak.

Menurutnya, usaha ini bertujuan memastikan hak dan kepentingan semua pihak termasuk pelanggan akhir dan pelabur dipertimbangkan dengan sewajarnya.

“Pertimbangan yang paling utama akan diberikan untuk memastikan kepastian dalam iklim pelaburan,” kata syarikat minyak dan gas negara itu ketika mengulas pertanyaan Bernama berhubung sebuah laporan berita yang menyatakan sebaliknya berhubung kemajuan kerjasama antara Petronas dan Petros.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata, kerajaan persekutuan akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak untuk memperincikan skop kerjasama antara Petronas dan Petros.

Katanya, perbincangan itu bertujuan meneroka kerjasama yang akan dijalankan oleh kedua-dua syarikat melibatkan mana-mana projek baharu dalam apa jua bidang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.