
Pelantikan Ibrahim yang juga pengerusi SEB itu berkuat kuasa hari ini.
Ibrahim berkata, usaha Sarawak ke arah ekonomi hijau dan menjadi hab tenaga di rantau Asean antara misi utamanya dalam menyandang jawatan timbalan menteri itu.
“Premier Sarawak ada berkata tentang membantu menyelaraskan industri minyak dan gas serta kepentingan tenaga boleh baharu, kita mahu melonjakkan Sarawak ke dalam grid Borneo dan menjadi pemain utama dalam sektor tenaga ini.
“Bagi saya pelantikan ini bukan satu keistimewaan, ia amanah yang datangnya dengan tanggungjawab, jadi kita perlu memastikan kita bekerjasama untuk mencapai visi bersama dan memajukan pembangunan Sarawak,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mengangkat sumpah, menurut Bernama.
Sementara itu, Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata pelantikan Ibrahim menepati hasrat Sarawak untuk membangunkan bekalan tenaga secara strategik, selain mengkoordinasi pembangunan gas di negeri ini.
Katanya, pengalaman Ibrahim yang pernah berkhidmat dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan turut dimanfaatkan dalam proses rundingan kerjasama Petronas dan Petros.
“Beliau (Ibrahim) dapat membantu Julaihi Narawi (menteri utiliti dan telekomunikasi) menyelaras dan melibatkan diri secara strategik dalam kerjasama dengan Petronas–Petros serta usaha kita menuju Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.
“Pelantikan baharu dan rombakan kecil Kabinet negeri bertujuan memperkukuh penyampaian perkhidmatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada rakyat dan meningkatkan sektor tenaga termasuk pelaburan dalam industri minyak dan gas,” katanya.
Selain itu, Abang Johari mengumumkan pelantikan Abdul Rahman Junaidi sebagai timbalan menteri di Jabatan Premier Sarawak (penyelaras projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan hal ehwal Islam) berkuat kuasa hari ini.