
Watikah pelantikan dua tahun itu disampaikan oleh Naib Canselor UiTM Prof Shahrin Sahib @Sahibuddin hari ini.
Pelantikan yang berkuat kuasa hari ini antara lain bertujuan memperkukuh penyelidikan jenayah kewangan, pencegahan rasuah dan tadbir urus integriti universiti itu.
Azam yang menyifatkan pelantikan tersebut sebagai penghormatan buat SPRM serta dirinya berjanji memberikan sumbangan kepada UiTM atas apa juga kapasiti berdasarkan pengalaman selama lebih 40 tahun dalam perkhidmatan.
“Saya akan cuba sebaik mungkin untuk memberi sumbangan kepada UITM secara keseluruhannya, terutama dalam isu-isu berkaitan dengan integriti, jenayah kewangan dan juga kaedah-kaedah penyiasatan terkini berdasarkan pengalaman saya selama bertugas di BPR (Badan Pencegah Rasuah) dan SPRM hampir 42 tahun.
“Pada saya, ini bukan sahaja suatu penghormatan tetapi tanggungjawab untuk memajukan anak bangsa dan walau sekecil mana sekalipun, saya akan pastikan ada ruang berkolaborasi dalam program yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Shahrin berkata, pelantikan itu menjadi pemangkin bagi usaha UiTM melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang bidang jenayah kewangan dan tadbir urus integriti, sejajar dengan keperluan industri serta cabaran global yang semakin kompleks.
Menerusi pelantikan itu, katanya, Institut Penyelidikan Perakaunan dapat memperkasakan penyelidikan dalam bidang kriminologi kewangan dengan menyediakan pandangan dan analisis mendalam trend jenayah kewangan, serta kelemahan dalam sistem kawal selia boleh diperbaiki menerusi perkongsian kepakaran dengan SPRM, khususnya Azam sendiri.
“Kita akan beri peluang seluasnya (kepada Azam) untuk berkongsi segala ilmu yang ada untuk diteruskan oleh generasi akan datang,” katanya