
Pengerusi Faizal Aziz percaya kerajaan tidak akan sukar mendapatkan sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat bagi pindaan tersebut, sepertimana ia menjayakan Akta Perkhidmatan Parlimen.
“Dalam masa sama, kita juga yakin agenda ini akan disokong oleh Ahli Parlimen Pembangkang demi masa depan negara yang lebih baik,” katanya di platform X.
Faizal juga percaya ia akan jadi contoh yang harus diteladani di peringkat negeri, sekiranya agenda itu dapat dijayakan di peringkat persekutuan.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan kepada gesaan DAP supaya meminda meminda Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal.
Anwar berkata partinya, PKR, dan Pakatan Harapan menyokong cadangan sedemikian, tetapi menekankan keperluan untuk berunding dengan parti lain mengenai perkara itu.
Sementara itu, Ketua Pemuda PKR, Adam Adli Abd Halim, percaya mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri akan dapat menghalang penyalahgunaan kuasa, mengukuhkan integriti pentadbiran, dan memastikan kepimpinan negara sentiasa segar dengan idea baharu.
“Namun reformasi ini memerlukan iltizam politik yang kuat. Pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen dan kami menyeru semua pihak termasuk pembangkang untuk bersama menjayakannya,” katanya.