
Ketua Penerangan Rafique Rashid berkata Putrajaya sepatutnya menggunakan kuasanya untuk meredakan kebimbangan masyarakat Melayu dan Bumiputera, dengan mengecualikan tanah rizab daripada URA.
“Tak perlu nak buat himpunan balas, kerajaan ada kuasa. Perdana menteri ada kuasa. Dia berkuasa dalam Jemaah Menteri dan ada peguam negara sebagai penasihat kerajaan.
“Bila mesyuarat, cakap saja kita tak mahu kawasan-kawasan orang Melayu dikenakan di bawah URA. Selesai,” katanya kepada FMT.
Menurut Rafique, kerajaan memiliki bilangan wakil rakyat untuk meluluskan URA maka mengecualikan tanah rizab akan menunjukkan komitmen untuk melindungi hak dan kepentingan Melayu dan Bumiputera di bandar.
Terdahulu, Anwar berkata kerajaan akan menggerakkan himpunan lebih besar untuk mempertahankan cadangan URA dan meminta pembangkang tidak terus mengganggu usaha membangunkan masyarakat Melayu di bandar.
Sebelum ini, Pemuda PAS menyuarakan hasrat berhimpunan di jalanan untuk membantah URA dengan timbalan ketuanya, Hafez Sabri, menyifatkan cadangan undang-undang itu sebagai ‘penjajahan moden’, selain mendakwa ia akan menyebabkan golongan miskin diusir dari tanah mereka seperti rakyat Palestin.
Menurut Rafique, yang juga pengamal undang-undang, draf Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar ketika ini hanya mengecualikan kawasan warisan semula jadi atau kawasan yang diiktiraf Tapak Warisan Dunia Unesco.
“Draf RUU itu langsung tidak menyebut pengecualian kepada tanah rizab Melayu. Itu yang menjadi kebimbangan komuniti Melayu bandar seperti di Kampung Baru,” katanya.
Beliau turut mencadangkan sebarang perubahan atau pembangunan berkaitan tanah rizab Melayu perlu mendapat persetujuan 100% pemilik, dengan pampasan berdasarkan nilai semasa.
Dalam pada itu, Rafique mengingatkan URA tidak terhad pada pembangunan di Lembah Klang, sebaliknya meliputi bandar-bandar di seluruh negara.
“PM selalu sebut komuniti Melayu di Kuala Lumpur, Lembah Klang… akta ini tidak terhad untuk tanah di Lembah Klang saja tetapi di seluruh negara.
“Undang-undang ni menyebut mana-mana kawasan yang mempunyai penduduk lebih 10,000 orang dikira sebagai bandar,” katanya.