
Bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak, berkata rundingan itu menjadi aspek penting dalam memastikan kejayaan pakatan dalam pilihan raya selain menggariskan beberapa prinsip utama yang boleh digunakan dalam proses berkenaan.
Beliau menegaskan, faktor seperti kebolehmenangan dan kekuatan jentera parti adalah kritikal.
“Kerusi diberikan kepada parti yang mempunyai peluang terbaik untuk menang berdasarkan prestasi pilihan raya terdahulu, kekuatan jentera parti, serta hasil tinjauan dan kajian sikap pengundi,” kata Adun Usukan di Facebook.
Salleh turut menyatakan, penyandang dan hak sejarah harus menjadi pertimbangan dalam pembahagian kerusi, dengan memberi keutamaan kepada sesebuah parti yang menang dan masih mempunyai sokongan kuat.
“Namun, jika penyandang telah bertukar parti atau mengalami kemerosotan sokongan, kerusi boleh dipertimbangkan semula.
“Pembahagian kerusi juga harus mengambil kira kepentingan semua rakan sekutu dalam pakatan bagi memastikan keseimbangan dan kestabilan politik serta mengelakkan ketegangan dalaman,” katanya.
Selain itu, beliau yang juga bendahari Umno Sabah berkata setiap kerusi hanya boleh ditandingi oleh satu calon daripada pakatan bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru yang boleh memberi kelebihan kepada pihak lawan.
Menurutnya, jika ada tuntutan bertindih terhadap sesuatu kerusi, keputusan boleh dibuat menerusi rundingan berdasarkan tinjauan dalaman, pertukaran kerusi dan strategi kempen bersama.
“Tinjauan dalaman adalah bagi menentukan parti mana lebih berpeluang menang dan jika sebuah parti terpaksa melepaskan kerusi tertentu, mereka boleh diberikan kerusi lain sebagai ganti.
“Pakatan juga boleh bersetuju menyokong calon daripada satu parti untuk memastikan kemenangan,” katanya.
Beliau turut menekankan, kualiti dan penerimaan calon yang bertanding di sesuatu kawasan selain persetujuan di peringkat persekutuan dan negeri berhubung pengagihan kerusi.
“Di negeri-negeri tertentu, pembahagian kerusi mungkin perlu mengambil kira strategi di peringkat nasional bagi memastikan keseimbangan dan kerjasama antara parti dalam pakatan.
“Mekanisme khas perlu diwujudkan untuk menangani sebarang pertikaian berkaitan pembahagian kerusi, sama ada melalui jawatankuasa khas atau campur tangan kepimpinan tertinggi pakatan,” katanya.