
Ketua Pengarah Sirajuddin Suhaimee dalam kenyataan berkata teguran itu dibuat ketika pertemuan antara pihak produksi ‘Bidaah’ dengan ahli Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam di bawah Jakim.
Menurutnya, pertemuan itu meneliti kandungan drama tersebut merangkumi klip video episod yang mencetuskan kontroversi dan klip video episod yang belum ditayangkan bagi menilai kesan serta implikasi kandungannya.
“Jakim telah membuat teguran dan memberikan penegasan kepada pihak produksi bahawa sebarang karya seni yang dihasilkan perlu selari dengan prinsip akidah, syariah, dan akhlak serta tidak menimbulkan fitnah kepada ajaran Islam,” katanya.
Sirajuddin berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan seniman dan karyawan dalam menghasilkan kandungan bermanfaat serta mematuhi garis panduan agama.
Jelasnya, Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam, yang dikeluarkan pada 2015, merupakan rujukan utama bagi semua pihak dalam industri penyiaran.
“Islam tidak menolak kesenian, bahkan mengiktirafnya sebagai salah satu cara untuk mengekspresikan keindahan yang dianugerahkan oleh Allah dan dakwah kepada masyarakat.
“Namun, seni dalam Islam mesti mematuhi garis panduan syariah, membawa kepada kebaikan, dan tidak melalaikan atau mempromosikan perkara yang bertentangan dengan nilai dan etika,” tegurnya.
Drama ‘Bidaah’ mula ditayangkan menerusi platform penstriman Viu Malaysia pada 6 Mac lalu dan diarahkan oleh Pali Yahya dan diterbitkan oleh produksi Rumah Karya Citra milik Erma Fatima.
Bagaimanapun beberapa pengguna media sosial melahirkan rasa kurang senang dengan beberapa adegan dan menggesa pihak berwajib untuk mengambil tindakan.