
Veteran DAP itu berkata perwakilan mesti memilih kepimpinan yang mampu mengharungi kerumitan yang bakal dihadapi parti pada PRU16 akan datang.
Santiago beri amaran bahawa DAP menghadapi halangan besar dalam mengekalkan sokongan bukan Melayu, kerana ramai kecewa dengan kerajaan perpaduan walaupun memahami kesukaran mentadbir di bawah pentadbiran semasa.
“Persoalannya adakah mereka akan kembali menyokong kami seperti yang mereka lakukan dalam dua atau tiga PRU lalu? Itu cabaran yang perlu kami tangani apabila menuju ke depan,” katanya kepada FMT.
Bekas Ahli Parlimen Klang itu melahirkan rasa kecewa kerana kempen pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat dipenuhi dengan perbincangan mengenai kepimpinan Lim Guan Eng.
“Ada yang mengatakan Lim akan menjadi pengerusi, tetapi itu tidak boleh menjadi sebab kita mengundi. Parti ini perlu mara, dengan atau tanpa beliau,” katanya.
Awal hari ini, Lim menafikan laporan bahawa beliau menarik diri daripada pemilihan CEC, menegaskan beliau tidak akan menarik diri daripada perlumbaan dan sebaliknya akan biar masa depannya ditentukan oleh perwakilan.
Kelompok tertentu dalam DAP menyokong Chow Kon Yeow, yang juga ketua menteri Pulau Pinang, untuk mengambil alih jawatan pengerusi daripada Lim.
Bagaimanapun, sebilangan besar ahli menyokong kepimpinan Lim, dan melihat beliau sebagai seorang watak yang kuat dan tidak takut untuk menentang PKR dan Umno.
Santiago berkata DAP mesti kekal komited pada prinsip teras iaitu kesaksamaan dan keadilan sebagai sebuah parti demokrasi sosial, sambil mengemudi realiti politik dalam kerajaan perpaduan.
“Apabila anda berada dalam kerajaan, perbincangan dan perbahasan adalah berbeza, dan beberapa kompromi perlu dibuat.
“Parti perlu tumpu pada bagaimana ia bergerak dalam kerajaan perpaduan dan berapa banyak janji pilihan raya yang telah direalisasikan,” katanya.
Dengan PRU16 dijangka lebih rumit memandangkan hubungan DAP dengan Umno, Santiago berkata kepimpinan akan datang mesti dapat menyesuaikan diri dengan dinamik politik yang sedang berubah dan mengukuhkan sokongan kepada parti.
Adalah amat penting untuk melibatkan pengundi muda, terutama bukan Melayu, sambil memperkukuh usaha mendekati masyarakat Melayu, katanya.
“Berapa banyak yang telah dilakukan parti untuk membawa orang bukan Melayu ke dalam PH dan kerajaan perpaduan? Secara konkrit, apakah yang telah dilakukan untuk mendekati masyarakat Melayu?
“Kita perlu kata, ‘Inilah yang telah kita lakukan. Kami menawarkan kerajaan yang adil dan berorientasikan rakyat. Undilah kami kerana itu, bukan hanya kerana anda tidak suka PAS’.”
Santiago berkata Pakatan Harapan perlu mengukuhkan kedudukan dalam kerajaan perpaduan dan mendesak agar reformasi bermakna dilakukan dalam beberapa tahun akan datang.