Badan Peguam tolak usul larang alkohol

Badan Peguam tolak usul larang alkohol

Seorang peguam berkata 15 ahli berucap mengenai resolusi itu, namun ia ditolak ramai.

Malaysian Bar AGM
Sekitar 400 ahli mengundi usul larangan alkohol pada mesyuarat Badan Peguam.
KUALA LUMPUR:
Usul larangan hidang dan mengambil minuman beralkohol pada majlis Badan Peguam dan negeri ditolak pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-79, hari ini.

Seorang peguam memberitahu FMT, 400 ahli hadir mengundi resolusi itu, yang merupakan yang terakhir daripada 14 usul dibahaskan pada mesyuarat berkenaan.

“Hampir 15 ahli berucap mengenai resolusi tersebut, namun cadangan itu ditolak ramai,” kata peguam itu.

Peguam HR Dipendra, yang mengundi menolak usul terbabit berkata Badan Peguam dan bahagian negeri mesti kekal sekular.

Pada Isnin, FMT melaporkan cadangan usul itu menyatakan pengambilan alkohol terbukti mengundang risiko kesihatan, termasuk penyakit hati, ketagihan, dan kesan buruk kesihatan mental.

Usul berkenaan, alkohol dihidangkan pada majlis dianjurkan Badan Peguam dan jawatankuasa bahagian negeri berkemungkinan menyumbang kepada tingkah laku tidak profesional dan boleh menimbulkan potensi liabiliti kepada organisasi.

Usul berkenaan berkata, hidangan alkohol pada majlis seumpama itu tidak sejajar dengan komitmen organisasi dalam mempromosikan kesihatan dan persekitaran menyokong buat ahlinya.

Usul itu berkata, pengecualian alkohol mungkin mengurangkan ketidakselesaan dan kejanggalan terhadap segmen anggota tertentu, terutama peguam Islam.

Ia bukan kali pertama usul seperti itu diketengahkan.

Pada 2017, usul serupa dibentang, merujuk komposisi pelbagai etnik dan agama dalam komuniti undang-undang dan hakikatnya banyak agama melarang pengambilan alkohol.

Usul tersebut juga ditolak dengan majoriti besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.