Papar harga ubat bagi akses maklumat, bukan kawal harga, kata menteri

Papar harga ubat bagi akses maklumat, bukan kawal harga, kata menteri

Menteri KPDN Armizan Mohd Ali berkata ia membolehkan rakyat buat perbandingan harga serta rancang perbelanjaan.

Hospital Pharmacy
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata mekanisme pemaparan harga ubat sejajar hak universal pengguna antaranya hak mendapat maklumat dan hak memilih. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Perintah pemaparan harga ubat di klinik dan hospital swasta berkuat kuasa 1 Mei ini bukan bertujuan mengawal harga ubat, tetapi memberi rakyat akses maklumat terhadap harga ubat-ubatan tersedia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata pemaparan harga itu membolehkan rakyat membuat perbandingan harga, premis kesihatan serta merancang perbelanjaan berhubung kos akan dibayar.

Beliau berkata, mekanisme pemaparan harga ubat itu adalah sejajar hak universal pengguna iaitu antaranya hak mendapatkan maklumat dan hak untuk memilih.

“Saya ingin ingatkan bahawa apa yang akan kita buat melalui perintah ini adalah sekadar untuk memaparkan harga supaya rakyat mempunyai akses terhadap maklumat harga ubat dan kemudian membuat pilihan hak mendapat maklumat dan hak untuk memilih.

“Ia (pemaparan harga ubat) bukan dilaksanakan untuk mengawal harga ubat,” katanya menurut Bernama selepas menghadiri Hari Bersama NGO Kepenggunaan, di Putrajaya.

Pada Selasan, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mempersoalkan asas undang-undang menguatkuasakan arahan tersebut di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Presiden Dr Kalwinder Singh Khaira, berkata pengamal perubatan am hanya perlu dikawal di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, bukan tertakluk kepada undang-undang berasingan bagi kawalan harga am.

“Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 adalah dan harus kekal, satu-satunya asas peraturan amalan perubatan,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU) melalui pemaparan harga ubat di semua kemudahan jagaan kesihatan dan farmasi komuniti telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol), pada 3 Okt 2023.

Ia disusuli dengan pembentangan Memorandum Jemaah Menteri bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 8 Jan lalu dengan Kabinet meluluskan mekanisme itu.

Beliau berkata pemaparan harga ubat itu akan dikuatkuasakan melalui perintah yang akan dibuat di bawah AKHAP 2011.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.