Menteri dalam negeri tolak rayuan pendaftaran Urimai

Menteri dalam negeri tolak rayuan pendaftaran Urimai

Pengerusi Urimai P Ramasamy berkata pegawai dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan menyampaikan keputusan menteri tanpa memberi alasan penolakan.

p ramasamy
P Ramasamy berkata penolakan pendaftaran Urimai perlu sejajar peruntukan Perlembagaan yang menjamin hak menubuhkan persatuan dan parti politik.
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menolak rayuan Urimai mendaftar sebagai parti politik, kata Pengerusinya, P Ramasamy.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) memaklumkan Urimai, permohonannya ditolak pada 4 Julai 2024.

Pada 27 Feb lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan parti itu memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan.

“Mengikut proses wajar, kami mengemukakan rayuan kepada menteri, tetapi penolakannya dibuat sebelum perbicaraan mahkamah dapat diteruskan.

“Dalam surat bertarikh 7 Mac, seorang pegawai dari kementerian menyampaikan keputusan menteri tanpa memberi sebarang alasan atas penolakan itu,” kata Ramasamy dalam kenyataan.

Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, penolakan pendaftaran Urimai perlu sejajar peruntukan Perlembagaan yang menjamin hak menubuhkan persatuan dan parti politik.

“Walaupun penolakan itu tidak mengejutkan, ternyata pengaruh politik Urimai yang semakin meningkat tidak menyenangkan kerajaan semasa.”

Peguam Urimai, Shamsher Singh Thind memberitahu FMT, pasukannya akan memfailkan notis kepada mahkamah hari ini untuk meminda pernyataan dan permohonan semakan kehakiman parti itu berdasarkan perkembangan terkini.

Sebelum ini, Shamsher berkata, dengan adanya kebenaran memulakan semakan kehakiman, JPPM perlu menjelaskan dalam afidavit penolakan permohonan pendaftaran Urimai.

Parti itu mendakwa keputusan JPPM menolak pendaftarannya melanggar hak Perlembagaan untuk kebebasan berpersatuan.

Ia memohon pengisytiharan mahkamah bahawa penolakan dan kegagalan menteri mempertimbangkan rayuannya sama dengan penafian hak termaktub dalam Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Urimai juga mahu mahkamah mengeluarkan perintah certiorari untuk membatalkan keputusan pendaftar dan perintah mandamus bagi memaksa Urimai didaftarkan sebagai parti politik dalam tempoh 14 hari.

Sebagai alternatif, parti itu meminta mahkamah memaksa menteri dalam negeri mempertimbang dan memutuskan rayuan Urimai dalam tempoh sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.