
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Rhodzariah Bujang berkata hukuman mati adalah wajar memandangkan Satvender Singh turut mengambil nyawa seorang bayi.
Satvender kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan, namun adik isterinya tidak dapat menahan sebak dan mengucapkan “terima kasih” kepada mahkamah kerana keadilan akhirnya ditegakkan.
Dalam alasan penghakiman, Rhodzariah yang bersidang bersama Hakim Abu Bakar Jais dan Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, berkata terdapat bukti kukuh yang menunjukkan Satvender melakukan pembunuhan tersebut.
Keputusan hari ini mengembalikan semula penghakiman Mahkamah Tinggi dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.
“Terdapat bukti keadaan yang jelas dan tidak dapat disangkal, yang secara langsung mengaitkan tertuduh sebagai pelaku jenayah terhadap isterinya dan anaknya,” katanya.
Satvender didapati membunuh D Kamaljit, 34, dan anak perempuan mereka, Ishilyn Kaur Sandhu, di sebuah rumah di Taman Rawang Perdana 2, Rawang, Selangor, antara jam 3.55 pagi dan 4.15 pagi pada 14 April 2016.
Mahkamah Tinggi pada 2021 menjatuhkan hukuman mati ke atas Satvender bagi kedua-dua pembunuhan itu.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan menggantikan pertuduhan membunuh isterinya dengan kesalahan menyebabkan kematian dan menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas Satvender.
Mahkamah itu juga membebaskan Satvender daripada tuduhan membunuh anaknya.
Pendakwaan kemudian mengemukakan rayuan untuk mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi, manakala Satvender merayu terhadap sabitan atas kesalahan membunuh isterinya.
Timbalan pendakwa raya Noorhisham Jaafar, ketika mendesak agar hukuman mati dikekalkan, berkata tertuduh menyebabkan kematian isterinya dengan mencekiknya, manakala kematian bayi mereka berpunca daripada asfiksia (kekurangan oksigen).
“Dia merancang pembunuhan itu dan kemudian mereka-reka tempat kejadian jenayah bagi mengaburi pihak polis,” katanya.
Noorhisham berkata, Satvender mereka cerita seolah-olah terdapat pencerobohan ke dalam rumahnya melalui pintu belakang ketika dia tiada di rumah.
Katanya, tertuduh memotong kunci mangga pintu belakang dan membiarkannya di atas lantai bagi memberikan gambaran seolah-olah ada pihak ketiga yang menceroboh masuk.
“Almari di bilik tidur utama dibuat seperti ia diselongkar,” katanya yang menambah Satvender pernah mendera isterinya secara fizikal sepanjang perkahwinan sebelum akhirnya membunuh mangsa.
“Kami meminta mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam kerana dua nyawa yang tidak berdosa telah hilang dalam keadaan yang tragis,” katanya.
Peguam S Arvind, yang mewakili ibu Kamaljit, turut meminta mahkamah mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi kerana kehilangan mangsa meninggalkan “kekosongan yang tidak dapat diganti” dalam keluarga mereka.
Bagaimanapun, peguam bela Rajpal Singh merayu mahkamah mengenakan hukuman penjara minimum 30 tahun bagi memberi peluang kepada tertuduh untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab selepas dibebaskan.
“Dia tidak akan menjadi ancaman kepada masyarakat kerana menjadi warga emas selepas menjalani hukuman penjara,” katanya, sambil menambah bahawa motif pembunuhan masih belum dapat dibuktikan.