Kerajaan sasar RM9 bilion dijana jual kayu getah terawat

Kerajaan sasar RM9 bilion dijana jual kayu getah terawat

Zahid Hamidi berkata ia langkah kepada program tanam semula getah skala besar libat kebun getah terbiar seluas 400,000 hektar.

Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, berkata Risda sedang berusaha perbanyak pengeluaran lateks untuk mengimbangi import bahan itu RM6 bilion setahun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
RM9 bilion diunjur kerajaan untuk dijana daripada penjualan kayu getah terawat menerusi program tanam semula di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, berkata Risda telah mengambil langkah proaktif menerusi cadangan pelaksanaan program tanam getah berskala besar (TGBB) bagi mengurangkan kebun getah terbiar yang akan diuruskan oleh Syarikat Risda Plantation Sdn Bhd.

“Ini diharapkan dapat mengurangkan keluasan kebun getah terbiar seluas 400,000 hektar di seluruh negara.

“Risda perlu lebih agresif dalam membimbing usahawan di bawah agensinya dalam usaha meningkatkan sumber pendapatan pekebun kecil selain bergantung daripada sumber hasil getah,” katanya menurut Bernama di Arau.

Sementara itu, Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata Risda sedang berusaha memperbanyak pengeluaran lateks dalam negara kerana mahu menggantikan pengimportan lateks sebanyak RM6 bilion setahun terutamanya dari negara jiran.

“Pekebun kecil menghasilkan lebih 80% hasil getah di negara ini, manakala ladang getah yang dipunyai syarikat besar hanya menghasilkan kurang 20%…dari segi lateks, dulu kita juga mengeluarkan lateks, kini kita jadi pengimport kepada lateks ini,” katanya.

Nilai dividen melambung

Dalam pada itu, menurut kenyataan media dikeluarkan Risda sempena majlis berkenaan, Risda menyalurkan dividen 2024 kepada 1,776 peserta Program Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) berjumlah RM10.99 juta dengan jumlah purata setiap penerima memperoleh RM5,061 per hektar.

“Nilai dividen ini meningkat 69% berbanding jumlah tahun lalu yang bernilai RM6.49 juta. Ia merupakan cerminan kepada usaha proaktif KKDW dan Risda dalam memastikan pulangan terbaik dinikmati pekebun kecil,” menurut kenyataan itu.

Risda turut memaklumkan RM3.7 juta diperuntukkan bagi program pembangunan Risda Perlis tahun ini bagi memastikan pekebun kecil di negeri itu diperkasakan menerusi program pembangunan strategik yang dirangka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.