Kembalikan bazar Aidilfitri Jalan TAR seperti sediakala, rayu peniaga

Kembalikan bazar Aidilfitri Jalan TAR seperti sediakala, rayu peniaga

Antara masalah dihadapi peniaga tahun ini termasuk khemah tidak berkualiti dan susunan secara khemah membelakang antara satu sama lain.

bazar Aidilfitri Jalan
Peniaga di bazar Aidilfitri Jalan TAR meneruskan perniagaan semalam selepas kejadian hujan lebat dan angin kuat menerbangkan banyak khemah peniaga kelmarin.
SEPANG:
Peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) merayu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar keadaan bazar Aidilfitri dapat dikembalikan seperti sediakala, susulan kejadian puluhan khemah musnah akibat cuaca buruk pada Rabu.

Mohd Feroz, 51, yang telah berniaga di situ sejak 30 tahun lepas berkata, antara masalah dihadapi peniaga tahun ini termasuk khemah kurang berkualiti dan susunannya yang membelakang antara satu sama lain, berlainan daripada tahun-tahun sebelum ini.

Mohd Feroz
Mohd Feroz, 51.

“Saya minta tolong kepada pihak berkuasa supaya kembalikan keadaan bazar ini macam biasa (secara berdepan) dah berilah khemah yang berkualiti. Kalau nak naikkan harga lesen pun kami sanggup bayar.

“Khemah yang telah diganti oleh DBKL ini juga jenis yang sama, jadi kalau kejadian ribut itu berulang, khemah akan musnah lagi,” katanya yang menyifatkan bazar Aidilfitri kali ini sebagai paling teruk pernah disertainya.

Seorang lagi peniaga, Amir Ahmad, 59, berkata ini kali pertama kejadian seumpamanya berlaku sejak 15 tahun beliau berniaga menggunakan khemah disediakan DBKL.

“Pakaian yang kena hujan semalam, terpaksa disidai untuk dikeringkan dahulu dan hari ini saya tidak dapat berniaga apa-apa,” keluhnya.

Amir Ahmad, 59
Amir Ahmad, 59.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya mengambil maklum keluhan disuarakan peniaga dan bersedia melakukan penambahbaikan pada masa akan datang.

Beliau yang mengadakan tinjauan di sekitar bazar Aidilfitri Jalan TAR semalam mencadangkan agar peniaga turut menggunakan pemberat di tapak khemah yang telah diganti oleh DBKL.

“Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi. Sekiranya dijangka berlakunya hujan, ribut petir, atau angin kencang, mereka akan beritahu kepada kita supaya kita dapat segera maklumkan kepada peniaga untuk ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Zaliha turut menegaskan, pendekatan baharu itu tiada kaitan dengan kesan akibat ribut semalam, malah susunan khemah sedemikian memudahkan perjalanan pembeli serta tidak mengganggu kegiatan perniagaan di sekitarnya.

Terdahulu dilaporkan kira-kira 45 khemah peniaga di bazar Aidilfitri Jalan TAR tercabut dan diterbangkan angin ketika hujan lebat dan angin kuat yang melanda kira-kira 4 petang itu.

Video kejadian itu, yang yang turut tular di media sosial, menunjukkan suasana panik apabila banyak kanopi melayang sebelum terhempas ke jalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.