
Harian Metro melaporkan Ng Kok Yeow, 64, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Chia Huey Ting, yang turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga hari, jika gagal membayar denda.
Lelaki itu didakwa sengaja memaklumkan seorang petugas Malaysia Airlines terdapat bom dalam beg rakannya dan dia mempunyai pengetahuan kata-kata itu mungkin boleh menggugat ketenteraman awam di kaunter daftar masuk nombor 44 LTAPP pada 10.30 malam 11 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kata-kata warga emas itu turut didengar beberapa petugas lain, di mana pemeriksaan lanjut tidak menemui barang terlarang dalam beg tertuduh dan rakannya.
Timbalan Pendakwa Raya, R Lushani memohon denda maksimum kerana perkara sensitif tidak boleh dijadikan gurauan, khasnya di tempat mempunyai kawalan keselamatan tinggi seperti di lapangan terbang.