
Sabin berkata pengembalian itu, yang meningkatkan bayaran lesen bagi pengusaha hotel, adalah penting untuk keperluan pembangunan Kota Kinabalu seperti projek penyelenggaraan dan pengindahan bandar, lapor Borneo Post.
Beliau berkata DBKK telah mengadakan libat urus dengan pengusaha hotel berhubung perkara ini dan berharap mereka akan menyokong langkah itu.
“Kami benar-benar memerlukan dana untuk melaksanakan tugas-tugas penting bagi menjaga kebersihan bandar.
“Selain itu, kami perlu bayar bil elektrik bagi usaha mengindahkan bandar, serta kos lain seperti menambah baik turapan,” Sabin dipetik sebagai berkata.
Kadar yang dikembalikan semula itu berdasarkan kelas dan kadar penghunian.
Sebelum ini dilaporkan bahawa kadarnya adalah RM4.65 bagi setiap bilik/hari untuk Kelas 1; RM2.65 sebilik/hari untuk Kelas 2; dan RM1.30 sebilik/hari untuk Kelas 3.
Pengusaha hotel sebelum ini membayar kadar tetap sebanyak RM10 bagi setiap bilik setiap tahun.
Sabin berkata, mengumpul dana yang mencukupi untuk menjaga kebersihan dan prasarana akan beri kesan secara langsung ke atas industri pelancongan.
Beliau berharap pengusaha hotel dapat bekerjasama dengan DBKK, memandangkan kerajaan negeri telah menyokong industri itu selama beberapa dekad dengan mengekalkan kadar tahunan bagi setiap bilik pada RM10, bagi membantu industri mengharungi cabaran ekonomi.
Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia baru-baru ini gesa pihak berkuasa menangguhkan kenaikan fi lesen ke atas hotel dan rumah lojing (penginapan sementara) di Kota Kinabalu.
Presiden Sri Ganesh Michiel mengambil contoh sebuah hotel dengan 100 bilik yang diklasifikasikan sebagai hotel kelas kedua, dengan kadar penghunian 60%, akan perlu membayar fi RM57,600 setahun berbanding kadar asal RM1,000 setahun.
Katanya, kenaikan kos yang tidak munasabah dan tidak mampan itu akan menyebabkan banyak hotel di Kota Kinabalu terpaksa gulung tikar.